KUALA LUMPUR 4 Sept. - Rancangan untuk memotong pengeluaran minyak pada tahun ini dijangka diteruskan.
AmInvestment Bank berkata, ini adalah berikutan permintaan minyak global masih rendah ekoran sekatan pergerakan terus dilaksanakan di kebanyakan negara akibat COVID-19.
Ini merujuk kepada sekatan pergerakan dan penjarakan sosial.
“Sekatan pergerakan dan penjarakan sosial berpotensi mengubah penggunaan tenaga dalam masa jangka panjang.
“(Tetapi) langkah untuk melanjutkan pemotongan pengeluaran akan tetap diteruskan walaupun beberapa tindakan optimisme dapat dilihat pada harga minyak mentah,” jelas analisis laporan AmInvestment.
Sebelum ini, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) meneruskan pemotongan pengeluaran minyak sebanyak 9.7 juta tong setiap hari (bpd) pada suku ketiga tahun ini (3Q20).
Baca : OPEC+ to continue cutting oil production targets in Q3?
Dalam pada itu, pada awal tahun ini pula, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah mengumumkan pemotongan 21% modal dan 12% perbelanjaan operasi susulan COVID-19 menyebabkan kemerosotan kitaran.
Keadaan itu bertambah teruk akibat perang harga Arab Saudi-Rusia.
“Setakat ini, 20% hingga 30% pemotongan perbelanjaan modal diumumkan oleh Exxon Mobil, Royal Dutch Shell, Saudi Aramco dan Petrobras pada tahun ini.
“Pada separuh pertama 2020 (1H20), kontrak baharu yang diperoleh pengendali minyak Malaysia merudum 62% kepada RM2.2 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu dan dijangka bertambah teruk pada separuh tahun kedua dan seterusnya.
“Berdasarkan penurunan permintaan yang tinggi dalam perkhidmatan minyak huluan, bank pelaburan tetap berhati-hati terhadap syarikat-syarikat dengan tahap hutang tinggi seperti Sapura Energy, yang perlu menyusun semula hutang RM10 bilion menjelang akhir tahun ini,” tambah AmInvestment. - DagangNews.com