KUALA LUMPUR 4 Jan - Power Root Berhad dan anak syarikatnya, Power Root (M) Sdn. Bhd. akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tuntutan ganti rugi berjumlah RM23 juta berhubung pertikaian tanda dagang 'Ah Huat' dengan syarikat Indonesia, CV Ego Sun Star Sukses Mandiri.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keputusan yang dikeluarkan pada 15 November 2023 itu adalah hasil tuntutan pelanggaran tanda dagang yang difailkan oleh CV Ego.
Pertikaian undang-undang itu bermula pada 13 Januari 2023, apabila Power Root memulakan tindakan pembatalan tanda dagangan terhadap CV Ego dan Lim Kok Kiong di Mahkamah Komersial Jakarta Pusat.
Ia bertujuan membatalkan tanda dagang 'Ah Huat' yang pada mulanya didaftarkan Kok Kiong pada 2013 dan kemudiannya dipindahkan ke CV Ego pada 2022.
Power Root mendakwa bahawa pendaftaran itu dilakukan tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka dan hanya sehari sebelum CV Ego secara rasmi menjadi pengedar untuk kumpulan itu di Indonesia.
Sebagai tindak balas, CV Ego membalas dengan tuntutan pelanggaran tanda dagang terhadap anak syarikat Power Root, PT Natbio Marketing Indonesia, menuntut ganti rugi berjumlah 74.5 bilion rupiah.
Bagaimanapun, pada 3 Ogos 2023, Mahkamah Komersial menolak tuntutan CV Ego dengan pelbagai alasan, termasuk kekurangan kedudukan undang-undang, pemfailan pramatang,dan perincian tuntutan kerosakan yang tidak mencukupi.
Pada masa yang sama, Mahkamah Komersial menolak tindakan Power Root bagi membatalkan tanda dagang atas alasan teknikal dengan menegaskan bahawa Kok Kiong bukan lagi pihak yang berkaitan.
Power Root telah memfailkan rayuan untuk membatalkan tututan itu pada 13 November 2023, berdasarkan nasihat peguam caranya bahawa mereka mempunyai alasan kukuh untuk membatalkannya kerana mahkamah Indonesia sebelum ini membenarkan tuntutan dengan pemilik tanda dagang dimasukkan sebagai satu pihak.
Pada masa sama, dua anak syarikat Power Root, iaitu Power Root Manufacturing Sdn. Bhd. dan Power Root Marketing Sdn. Bhd., menerima surat pemberitahuan pada 3 Januari 2024 berhubung tuntutan pelanggaran tanda dagang yang dimulakan oleh CV Ego.
"Power Root akan menentang mana-mana tuntutan bagi melindungi tanda dagangan dan nama dagangannya," katanya.- DagangNews.com