PPB dijangka buka 42 skrin di 4 lokasi pada FY22 dengan capex RM63 juta - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

PPB dijangka buka 42 skrin di 4 lokasi pada FY22 dengan capex RM63 juta - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - AmInvestment Bank Research menaikkan penarafan PPB Group Bhd. kepada 'beli' berbanding 'pegang' sebelum ini dengan harga sasarannya juga disemak lebih tinggi kepada RM19.90 daripada RM17.60 sesaham.

 

Firma itu juga menaikkan unjuran bersih PPB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) sebanyak 10.6% dengan mengambil kira hasil daripada operasi pawagam yang lebih kukuh dan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Katanya, PPB mendapat manfaat daripada penyusutan ringgit memandangkan hasil daripada Wilmar International diterjemahkan daripada dolar AS kepada ringgit. 

 

"Kami menjangkakan keuntungan operasi PPB akan bertambah baik pada separuh kedua 2022. Kumpulan dijangka merekodkan keuntungan operasi (kecuali Wilmar) sebanyak RM218.4 juta pada FY23 berbanding kerugian RM78.3 juta pada FY22. 

 

"Pemulihan dalam FY23 dijangka disokong oleh kos bahan mentah yang lebih perlahan dan pendapatan pawagam yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kumpulan PPB terbabit dalam pelbagai perniagaan seperti perniagaan pertanian, produk pengguna, pembangunan hartanah, kejuruteraan alam sekitar dan utiliti.

 

Pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, untung bersihnya susut kepada RM303.16 juta daripada RM402.18 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM1.38 bilion berbanding RM1.12 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Segmen bijirin dan pertanian tani pada suku berkenaan terjejas dengan kos gandum yang tinggi dan kerugian derivatif sebanyak RM188 juta.

 

Sementara itu, unit pameran filem dan pengedaran terjejas dengan kehadiran penonton yang berkurangan apabila kes COVID-19 melonjak pada suku pertama 2022.

 

Bagaimanapun, AmInvestment mengunjurkan segmen bijirin dan perniagaan tani akan merekodkan kerugian sebelum cukai yang lebih kecil sebanyak RM33 juta pada suku berikutnya berbanding RM161 juta pada suku pertama. 

 

"Peningkatan pendapatan bagi bahagian tersebut pada separuh kedua ini dijangka disokong oleh harga gandum, kacang soya dan jagung yang lebih rendah," katanya.

 

Firma itu turut menjangkakan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM34.9 juta bagi unit pameran dan pengedaran filem pada FY22 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM105.3 juta pada FY21.

 

"Peningkatan kemasukan tiket yang disokong oleh tayangan filem blockbuster akan lebih daripada mengimbangi kos operasi yang lebih tinggi pada FY22. 

 

"Malah, kos bekalan makanan dan minuman (F&B) juga dijangka meningkat 5% hingga 10% pada FY22," tambahnya.

 

PPB yang juga pemilik Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) juga katanya, dijangka membuka 42 skrin di empat lokasi pada FY22 dengan anggaran perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM63 juta.

 

"Lokasi baharu ini terletak di BBCC KL, IOI City Mall Putrajaya, Spring Bintulu dan Sunway Iskandar Ipoh," katanya. 

 

Mengenai impak gaji minimum, firma itu berkata, ia tidak memberi kesan ketara kepada kumpulan memandangkan kebanyakan pekerjanya menikmati bayaran melebihi RM1,500 sebulan. 

 

Setakat 12.30 tengah hari ini, harga saham PPB menokok 4 sen atau 0.25% kepada RM16.24 dengan 142,300 saham diniagakan. - DagangNews.com