PPVM tolak pelaksanaan GEG, mohon NGO kesihatan tidak keluar kenyataan mengelirukan | DagangNews Skip to main content

PPVM tolak pelaksanaan GEG, mohon NGO kesihatan tidak keluar kenyataan mengelirukan

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mei - Persatuan Peniaga Vape Melayu (PPVM) menyatakan pendirian menolak cadangan Dasar Generasi Penamat (GEG) dan menggesa agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan awam tidak membuat kenyataan mengelirukan berkenaan pendirian industri berkenaan GEG.

 

Presiden PPVM, Mohd Sabri Ismail berkata, baru-baru ini terdapat kenyataan dan laporan yang menyatakan bahawa persatuan industri vape, termasuk PPVM, menyokong hasrat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan cadangan GEG.

 

Beliau berkata, pihaknya tidak menyokong pelaksanaan GEG kerana ia akan memberikan kesan kepada industri.

 

"PPVM telah berkali-kali menyeru kerajaan agar tidak membawa cadangan ini lagi kerana ia terlampau drastik, malah Perdana Menteri baru-baru ini di Parlimen menyatakan bahawa ia adalah langkah yang drastik. Oleh itu, ia bukannya pendekatan yang patut diambil lagi.

 

"Ramai usahawan dan pemain tempatan yang terlibat dalam industri ini. Cadangan GEG ini, sekiranya diluluskan, bermakna ia menyebabkan ramai yang dipaksa untuk menggulung tikar pada masa hadapan. 

 

"Kami memahami pendirian KKM berkenaan perkara ini, tetapi kerajaan perlu mencari titik tengah agar semua pihak dapat mengambil langkah untuk membuat kawal selia ke atas industri vape," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Mohd Sabri, buat masa ini adalah penting untuk industri mendapatkan butiran berkenaan kawal selia ke atas industri vape kerana setakat ini, tiada perbincangan mendalam atau makluman daripada KKM berkenaan butiran kawal selia.

 

Beliau berkata, selama ini perbincangan hanya tertumpu kepada topik GEG sahaja dan idustri masih tiada butiran berkenaan cadangan dari segi kawalan kandungan, pembungkusan dan juga aktiviti pemasaran serta penjualan. 

 

Katanya, ia perlukan perbincangan supaya industri dapat membuat persediaan untuk peralihan dalam perniagaan.

 

"Walaupun cecair dan gel vape yang mengandungi nikotin telah dikecualikan, kami masih tidak mendapat sebarang pencerahan atau panduan berkenaan had nikotin yang dibenarkan dalam cecair vape ataupun apa-apa larangan berkenaan kandungan. 

 

"Perkara sebegini perlukan perbincangan supaya kawalan yang ditentukan mengikut keperluan pasaran serta ketetapan di tahap antarabangsa seperti di negara lain.

 

"Semua butiran berkenaan kawal selia perlu dibuat secara telus bersama industri supaya perbincangan dapat dibuat dan pada masa ini, industri tiada hala tuju berkenaan tatacara peraturan dan ini menyebabkan ketidaktentuan kepada pihak industri," katanya.

 

Katanya, PPVM juga memohon agar KKM membuat sesi libat urus agar perbincangan dapat dibuat berkenaan butiran peraturan dan kawal selia. - DagangNews.com