NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 1 Nov - Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan langkah menaiktaraf Institut Genom dan Vaksin Malaysia kepada Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI) dijangka mampu memacu pembangunan vaksin bagi memastikan Malaysia bersedia untuk berhadapan pandemik pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga mampu mencorak laluan dalam mengeluarkan produk vaksin sendiri yang berkualiti, berkesan dan selamat mengikut syarat yang ditetapkan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sekali gus menjadi hab pengeluar vaksin dan meningkatkan keyakinan terhadap penggunaannya.
Beliau berkata, buat masa skearang terdapat tiga projek yang disediakan menerusi PPVN termasuk dua jenis vaksin COVID-19 menggunakan virus yang dilemahkan (inactivated) dan mRNA yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).
Beliau berkata, pembangunan vaksin itu akan tertumpu kepada Variant of Concern (VOC) COVID-19 yang terdapat di Malaysia dengan kerajaan memperuntukkan geran penyelidikan KKM dan Sukuk Prihatin berjumlah RM3.5 juta.
"Kedua, vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST). Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi turut membiayai projek ini menggunakan Dana Penyelidikan Strategik (SRF) sebanyak RM10.5 juta bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera,Tuberculosis and COVID-19.
"Ketiga ialah Projek Pre-clinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer oleh Cancer Research Malaysia (CRM) berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
"Bagaimanapun, memandangkan tiada kemudahan ujian klinikal iaitu first in human di Malaysia lagi pada ketika ini, maka CRM akan menjalankan ujian klinikal bermula Februari 2022 sehingga Mac 2023 di United Kingdom.
"Walaupun pembangunan dan penghasilan vaksin ini merupakan suatu pelaburan yang tinggi, tetapi ia berpotensi memberikan pulangan jangka panjang buat Keluarga Malaysia melalui penjimatan kos merawat penyakit, selain membawa pelaburan syarikat multinasional ke Malaysia," katanya ketika melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara serta Institut Genom & Vaksin Malaysia.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sangat komited untuk memacu penyelidikan dan pembangunan dalam menghasilkan teknologi baharu dalam memastikan 50% daripada dana penyelidikan kerajaan disediakan untuk pembangunan eksperimental (aktiviti pra-pengkomersialan) khususnya bagi inovasi yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan.
Beliau berkata, melalui pelbagai program yang dilaksanakan kerajaan, kita menjangkakan lebih ramai saintis vaksin dapat dilahirkan, ia sekaligus dapat menyokong pelbagai program dan perancangan kerajaan bagi meningkatkan kemampuan membangunkan vaksin khusus manusia, bukan sahaja untuk kegunaan dalam negara malah untuk pasaran global.
Ismail Sabri berkata, dari sudut kesediaan industri pula, antara usaha yang telah dilakukan termasuk menerusi syarikat Pharmaniaga menerusi proses pembotolan atau 'fill and finish' vaksin COVID-19 iaitu CoronaVac atau lebih dikenali sebagai Sinovac, dan syarikat Solution Biologics bagi pembotolan vaksin Convidecia, atau dikenali sebagai CanSino.
"Kadar import produk farmaseutikal Malaysia bernilai AS$1.94 bilion pada tahun 2020 di mana vaksin adalah antara lima item import utama dengan jumlah pembelian sebanyak RM4.3 bilion bagi vaksin COVID-19 sahaja.
"Kebergantungan kepada import ini menunjukkan kita perlu melahirkan lebih ramai pencipta teknologi dan bukan pengguna teknologi semata-mata," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri yakin penubuhan MGVI ini dapat memberi kesan positif kepada negara daripada sudut ekonomi, sosial dan teknologi sekaligus menyumbang kepada kestabilan ekonomi kerana tiada kebergantungan kepada sumber bekalan dari luar.
Beliau berkata, melalui pelaksanaan PPVN dan penubuhan MGVI ini, modal insan berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang penyelidikan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan dan vaksin akan dapat dilahirkan selain lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan untuk Keluarga Malaysia sekaligus membantu meningkatkan jumlah tenaga pekerja mahir dan meningkatkan taraf hidup serta kesihatan rakyat.-DagangNews.com