PR1MA jalin kerjasama dengan Huawei bagi tingkatkan kemudahan kepada pembeli rumah | DagangNews Skip to main content

PR1MA jalin kerjasama dengan Huawei bagi tingkatkan kemudahan kepada pembeli rumah

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) mengemukakan Surat Tunjuk Minat kepada Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd untuk mengintegrasikan peranti pintar Huawei ke dalam pembangunan PR1MA.

 

Kerjasama yang diteroka oleh PR1MA dengan Huawei Malaysia adalah melalui anak syarikatnya, PR1MA Communications Sdn. Bhd. (PCSB).

 

Ia bertujuan untuk mengintegrasikan peranti pintar Huawei Malaysia ke dalam pembangunan PR1MA.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA, Mohd Nazri Md. Shariff mengharapkan kerjasama strategik PR1MA bersama Huawei ini akan memastikan integrasi peranti pintar yang inovatif ke dalam kediaman PR1MA.

 

"Ini bagi meningkatkan keselesaan, kemudahan dan keselamatan para penduduk," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

PR1MA dalam pada masa sama memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bersama SANY Construction Industry Development Sdn Bhd, anak syarikat SANY Global yang berpangkalan di China (SCID).

 

MoU itu bagi memperkukuhkan kerjasama di bawah agenda pembinaan, pembangunan modal insan serta pengurusan lestari berlandaskan prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG).

 

Menurut kenyataan itu, pengukuhan kerjasama antara PR1MA dan SCID bertujuan untuk meneruskan usaha giat bersama gergasi industri global dalam penerapan teknologi pembinaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) khususnya bagi Bandar PR1MA dilancarkan pada bulan Jun 2024.

 

Pemeteraian MoU itu meneroka kerjasama strategik di bawah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta penerapan teknologi mesra alam seperti sistem tenaga solar dan kenderaan elektrik (EV) yang merangkumi trak pengurusan sisa, trak sanitasi, kenderaan perkhidmatan awam di kediaman PR1MA Se-Malaysia.

 

Usaha itu selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam meneroka potensi kerjasama di antara Malaysia dan China dalam bidang perumahan, teknologi serta perancangan bandar.

 

Sesi penyerahan Surat Tunjuk Minat dan pemeteraian disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Pavilion Malaysia, Kuala Lumpur Convention Centre bersempena ASEAN-China Ministerial Roundtable on Construction and Housing (ACMROCH) 2024 di International Architecture, Interior Design and Building Exhibition (ARCHIDEX). -DagangNews.com