Premis pelancongan, kilang penyumbang kes kebakaran di Perak dengan kerugian RM144 juta tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Premis pelancongan, kilang penyumbang kes kebakaran di Perak dengan kerugian RM144 juta tahun lalu

Sebanyak RM21.4 juta nilai kerugian direkodkan di Perak akibat kebakaran sepanjang tahun ini.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 20 Julai - Premis pelancongan dan kilang antara penyumbang pada kes-kes kebakaran besar di negeri ini pada tahun lalu menyebabkan nilai kerugian sebanyak RM144 juta.

 

Setakat Jun tahun ini, nilai kerugian yang direkodkan berpunca daripada kebakaran adalah sebanyak RM21.4 juta. 

 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Sayani Saidon berkata, jumlah tersebut adalah nilai kerugian langsung iaitu bangunan dan infrastruktur.

 

Menurut beliau, bagaimana pun jumlah tersebut lebih tinggi sekiranya mengambil kira kos lain iaitu bukan kerugian fizikal.

 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Sayani Saidon.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Sayani Saidon.

 

“Kalau dikira kerugian tidak langsung nilainya lebih besar.

 

"Antaranya kos disebabkan kehilangan pekerjaan, kehilangan daya saing, kehilangan pelanggan akibat kebakaran menyebabkan kerugian ekonomi negara kerana ia mempengaruhi keyakinan pelabur untuk melabur. 

 

“Penyumbang utama kepada angka kerugian ini ialah kebakaran melibatkan kilang-kilang dan premis-premis pelancongan yang menyumbang pada ekonomi negeri,” ujarnya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Seminar Keselamatan Kebakaran Negeri Perak 2023 di Hotel Casuarina di sini.

 

Premis pelancongan dan kilang antara penyumbang kes kebakaran di Perak.
Premis pelancongan dan kilang antara penyumbang kepada kes kebakaran di Perak.

 

Seminar ini bertujuan memberi penjelasan dan maklumat berkaitan pindaan akta dan peraturan yang berkaitan keselamatan kebakaran.

 

Menerusi sesi perkongsian ini dapat berkongsi input serta memberi pendedahan keselamatan kebakaran supaya dapat mengelakkan kemalangan.

 

Mengulas lanjut kata Sayani, premis-premis komersial kebiasaannya mempunyai dengan Pasukan Keselamatan Kebakaran (PKK) iaitu kakitangan yang mempunyai latihan asas mencegah kebakaran.

 

Pegawai bomba memberi latihan kepada pasukan keselamatan kebakaran sebuah kilang di Tapah.
Pegawai bomba memberi latihan kepada pasukan keselamatan kebakaran sebuah kilang di Tapah.

 

Katanya, nilai kerugian sesuatu premis perniagaan disebabkan kebakaran juga diukur berdasarkan keluasan kawasan kejadian.

 

"Kerugian kebakaran melibatkan bengkel dan kilang memang menyebabkan kerugian besar manakala kebakaran kediaman selalunya melibatkan kehilangan nyawa," ujarnya. - DagangNews.com