Press Metal diunjur catat untung bersih dua digit berterusan pada 2Q, disokong ASP aluminium lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Press Metal diunjur catat untung bersih dua digit berterusan pada 2Q, disokong ASP aluminium lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Press Metal Aluminium Holding Bhd diunjur mencatatkan keuntungan bersih dua digit berterusan pada suku kedua tahun ini disokong peningkatan purata harga jualan (ASP) aluminium sebanyak 11.5%.

 

RHB Investment berkata, ia juga didorong peningkatan 28% bagi premium Pelabuhan Utama Jepun (MJP) kesan kenaikan permintaan di Asia.

 

Katanya, dari segi bahan mentah, harga alumina (35% daripada kos peleburan) kekal tinggi dalam keadaan bekalan yang ketat pada AS$430.90/tan.

 

"Kami menjangkakan margin bersih berlegar sekitar dua digit rendah," katanya dalam atu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Bloomberg Intelligence (BI) meramalkan lebihan bekalan akan mengecil dan kenaikan harga aluminium menjelang 2025. 

 

Katanya, lebihan aluminium global akan menyusut pada 2024 dan berpotensi beralih kepada defisit menjelang 2025 didorong pengembangan kapasiti yang perlahan di Indonesia, peningkatan permintaan daripada sektor hijau seperti solar dan kenderaan elektrik (EV) dan peningkatan dalam aktiviti pembinaan di luar China.

 

Sektor pembinaan dan sektor pengangkutan memainkan peranan penting kepada pemulihan permintaan.

 

"Keadaan itu disokong pertumbuhan 4% dari tahun ke tahun dalam pengeluaran aluminium bagi tempoh 5MFY24 berdasarkan data Institut Aluminium Antarabangsa.

 

"Bagaimanapun, permintaan aluminium global diunjur meningkat 3.2% pada 2024 dan 2.4% pada 2025," katanya.

 

RHB Investment optimis terhadap pasaran aluminium didorong peningkatan permintaan daripada sektor EV dan solar, pemulihan aktiviti perdagangan global dan peningkatan kesedaran terhadap pelaburan jejak karbon rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.67 sesaham berbanding RM5.14 sebelum ini," katanya.- DagangNews.com