Prestasi cemerlang eksport rangsang KDNK 1Q21 - MIDF | DagangNews Skip to main content

Prestasi cemerlang eksport rangsang KDNK 1Q21 - MIDF

Prestasi cemerlang eksport rangsang KDNK 1Q21

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 28 April - Prestasi cemerlang eksport negara yang dicatatkan pada Mac 2021 memberi sumbangan positif kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh suku pertama 2021 (1Q21).

 

MIDF Research berkata, ini kerana eksport negara pada Mac melepasi angka RM100 bilion buat pertama kalinya.

 

Jelas nota kajian itu lagi, jumlah dagangan negara juga menyaksikan peningkatan 25.6% kepada RM185.7 bilion pada Mac 2021, berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Menilai kepada prestasi berkenaan, MIDF Research membuat semakan semula ramalan pertumbuhan eksport dan import negara masing-masing kepada 13.5% dan 12.7% tahun ke tahun.

 

Ramalan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding anggaran sebelumnya iaitu 8.1% dan 8.7% tahun ke tahun.

 

"Prestasi perdagangan Malaysia dijangka pulih pada 2021, berbekalkan momentum yang kuat pada separuh kedua 2020 susulan penyambungan semula aktiviti di peringkat global.

 

"Prestasi (perdagangan) setakat ini adalah lebih baik berbanding jangkaan apabila eksport dan import masing-masing meningkat 18.2% dan 10.8% berbanding tahun sebelumnya pada suku pertama 2021.

 

"Pertumbuhan tersebut dijangka terus berlaku dalam jangka masa terdekat kerana kesan asas yang rendah tahun lalu," jelas MIDF Research.

 

Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia pada Mac 2021 menyaksikan eksport negara kekal pada paras yang tinggi, meningkat 31.0% kepada RM104.9 bilion berbanding Mac tahun lalu.

 

Laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) itu turut memberitahu, jumlah berkenaan merupakan pertumbuhan tahun ke tahun yang tertinggi dalam tempoh 44 bulan.

 

Baca: Jumlah dagangan Mac melonjak 25.6% kepada RM185.7 bilion

 

Sementara itu, jumlah dagangan mencapai RM505.6 bilion atau kenaikan 14.8% pada suku tahun pertama 2021 daripada RM440.4 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu, peningkatan tersebut disumbang oleh kenaikan eksport dan import masing-masing RM43.5 bilion atau 18.2% dan RM21.8 bilion atau 10.8%.

 

Dalam nota kajian yang sama, MIDF Research memberitahu, Malaysia turut berpeluang memperoleh keuntungan daripada prestasi rakan dagang utama khususnya China dan Amerika Syarikat (AS).

 

Dalam kemaskini yang dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global diunjur lebih tinggi iaitu pada kadar 6% berbanding hanya 5.5% dalam ramalan sebelumnya.

 

KDNK bagi AS dan China juga masing-masing dijangka meningkat dengan lebih baik kepada 6.4% dan 8.4% berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com