Prestasi eksport, import negara diunjur meningkat sebanyak 4.7% dan 5.6% pada 2024, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Prestasi eksport, import negara diunjur meningkat sebanyak 4.7% dan 5.6% pada 2024, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - Prestasi eksport dan import negara diunjur meningkat masing-masing sebanyak 4.7% dan 5.6% pada 2024 berbanding kemerosotan sebanyak 8% serta 6.4% yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pemacu utama pemulihan itu adalah berdasarkan jangkaan kitaran menaik dalam segmen elektronik dengan Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia (WSTS) mengunjurkan jualan semikonduktor global meningkat sebanyak 13.1% pada tahun ini.  

 

"Prestasi eksport dan import terjejas pada tahun lalu kerana berdepan semakan semula harga komoditi selain kitaran menurun dalam segmen elektronik selain keadaan itu diburukkan lagi oleh kesan asas berikutan lonjakan pada tahun sebelumnya sebanyak 24.9% dan 31%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, jumlah dagangan turun 4.3% kepada RM225.1 bilion didorong oleh eksport lebih rendah, jatuh 10% kepada RM118.5 bilion, tahun ke tahun. 

 

Bagaimanapun, import negara menunjukkan peningkatan sebanyak 2.9% kepada RM106.7 bilion. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah dagangan Malaysia merosot 4.3% kepada RM225.1 bilion bagi bulan ke-10 berturut-turut pada Disember 2023 - DOSM

 

Sementara itu, imbangan dagangan kekal dalam lebihan dengan nilai RM11.8 bilion, menyusut 57.8% pada Disember 2023. 

 

Bagi prestasi keseluruhan 2023, jumlah dagangan merosot 7.3% seiring dengan prestasi eksport (-8%) dan import (-6.4%).

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan berterusan eksport pada Disember 2023 adalah kesan daripada kejatuhan dalam sektor pembuatan dan pertanian tetapi ia bagaimanapun diimbangi peningkatan semula dalam sektor perlombongan.

 

Katanya, eksport pembuatan merosot disebabkan penghantaran dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih rendah selain produk petroleum, kelengkapan pengangkutan, bahan kimi serta peralatan optik dan saintifik.

 

Maybank IB berkata, eksport pertanian jatuh berikutan eksport minyak sawit yang lebih lemah dalam keadaan penurunan harga eksport yang lebih ketara.

 

Katanya, eksport perlombongan mencatatkan peningkatan semula berikutan eksport petroleum mentah yang lebih tinggi disokong  peningkatan pertumbuhan jumlah eksport ketika berlaku kemerosotan dalam harga manakala eksport gas asli cecair (LNG) adalah mendatar. - DagangNews.com