Prestasi FGV pada FY23 mengecewakan, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sehingga 58% | DagangNews Skip to main content

Prestasi FGV pada FY23 mengecewakan, RHB Investment kurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sehingga 58%

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - RHB Investment mengurangkan pendapatan FGV Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) sebanyak 46% hingga 58% selepas mengambil kira prestasi FY23, pendapatan bahagian gula dan kenaikan kos unit. 

 

Firma penyelidikan itu berkata keputusan FY23 mengecewakan dengan merangkumi 83% daripada ramalan konsensus, terutamanya disebabkan oleh pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih rendah, kos unit lebih tinggi dan kerugian ditanggung subsegmen bajanya. 

 

“FGV menyasarkan pertumbuhan BTS sebanyak 10% hingga 15% YoY untuk FY24. Pada Januari 2024, pertumbuhan BTS merosot 10.6% YoY. Untuk bersikap konservatif, kami mengunjurkan pertumbuhan BTS FY24-25 pada 4% hingga 6% YoY,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih FGV jatuh 92% kepada RM103 juta pada FY23 akibat kelemahan harga minyak sawit mentah

 

Sementara itu, bagi purata harga jualan (ASP) minyak sawit mentah, firma tersebut mengekalkan unjurannya pada RM3,900 setiap tan bagi FY24.

 

RHB Investment juga menjangkakan pendapatan kumpulan itu akan bertambah baik pada 2024 disokong oleh penurunan kos unit dan bahagian gula kekal mencatat keuntungan.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kos unit jatuh 10% QoQ namun meningkat 13% YoY kepada RM2,490 setiap tan pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), menjadikan kos unit FY23  RM2,761 setiap tan,26.5% YoY lebih tinggi.

 

Ini didorong oleh kos pengambilan pekerja baharu, gaji minimum lebih tinggi dan kos baja lebih tinggi disebabkan penggunaan baki baja berharga lebih tinggi dari 2022, selain pembayaran pampasan kira-kira RM72 juta untuk yuran pengambilan kira-kira 20,000 pekerja pada 2023. 

 

“Bagi FY24, ia menjangkakan kos unit menurun 15% hingga 20% YoY kepada RM2,200 hingga RM2,300 setiap tan, berikutan harga baja lebih rendah dan ketiadaan kos pengambilan pekerja . Kami menganggap pengurangan 10% hingga 15% YoY yang serupa dalam andaian kos unit kami untuk FY24,” tambahnya.

 

Mengulas tentang perniagaan gula pula, RHB Investment berkata ia kembali mencatat keuntungan pada 4QFY23, dibantu oleh RM48 juta insentif kerajaan yang diterima pada suku tersebut dan turut didorong peningkatan jumlah dan harga jualan masing-masing sebanyak 11% dan 27% YoY.

 

“Melangkah ke hadapan, dengan penerusan insentif RM1 setiap kilogram daripada kerajaan sehingga diberitahu kelak, bahagian gula akan menerima RM24 juta sebulan dan kekal dalam keuntungan. Kami telah melaraskan ramalan dengan sewajarnya,” ujar firma itu.

 

Meskipun unjuran pendapatan dipotong, RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM1.58 sesaham daripada RM1.50 sebelumnya.

 

Katanya, penilaian adalah tinggi memandangkan saham didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) FY24 pada 26.8 kali berbanding julat syarikat pesaing antara 8 kali hingga 12 kali.

 

Pada pukul 9:45 pagi ini, saham FGV telah susut 2 sen atau 1.4% kepada RM1.44 dengan permodalan pasarannya bernilai RM5.25 bilion.  - DagangNews.com