KUALA LUMPUR 31 Jan - MIDF Research menyemak semula unjuran pendapatan DiGi.Com Bhd. (Digi) berikutan prestasi tahun kewangan 2021 (FY21) yang kurang memberangsangkan.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan Jumaat lalu, untung bersih Digi bagi FY21 susut kepada RM1.16
bilion berbanding RM1.22 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya tetapi pendapatan meningkat kepada RM6.34 bilion daripada RM6.15 bilion.
Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 pula, keuntungan bersihnya berjumlah RM304.55 juta berbanding RM280.19 juta, manakala hasil bagi tempoh dalam tinjauan menokok 1.5% dari tahun ke tahun kepada RM1.58 bilion berbanding RM1.56 bilion sebelum ini.
Menurut firma tersebut dalam nota kajian hari ini, pendapatan normalisasi bagi FY21 jatuh di bawah sasarannya tetapi memenuhi jangkaan konsensus, masing-masing menyumbang 94.3% dan 97.6% daripada anggaran pendapatan penuh FY21.
"Memandangkan hasilnya di bawah jangkaan, kami menyemak turun anggaran pendapatan bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak -6.5 dan -6.4%.
"Tetapi, kami menyemak semula harga sasaran lebih tinggi pada RM4.45 daripada RM4.43 sebelum ini berdasarkan tambatan pendapatan sesaham (EPS) baharu bagi FY23 pada 17.6 sen berbanding purata nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2 tahun kumpulan pada 25.3x," katanya.
Baca : Untung bersih FY21 Digi susut kepada RM1.16 bilion
Bagaimanapun, MIDF Research berkata, perbelanjaan modal (capex) kumpulan akan kekal stabil dengan tumpuan utama untuk menambah baik rangkaian dan keupayaan digital.
Bagi FY21, Digi melaporkan peruntukan capex terkawal sebanyak RM814 juta atau 12.8% daripada jumlah hasil tahun kewangan tersebut untuk mengembangkan liputan rangkaian dan peningkatan digital kumpulan.
Dalam pada itu, mengenai cadangan penggabungan antara Digi dan Celcom, firma itu berkata, ia masih berjalan seperti dirancang dan cadangan transaksi dijangka dimuktamadkan pada suku kedua 2022.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Digi dengan risiko penurunan bergantung kepada pendapatan lebih lemah daripada jangkaan, persaingan mudah alih yang sengit dan penamatan cadangan penggabungan dengan Celcom.
Setakat 11.06 pagi, harga saham Digi susut 5 sen atau 1.3% kepada RM3.81 dengan 629,300 saham diniagakan. - DagangNews.com