KUALA LUMPUR 11 Dis - Laporan Indeks Pembangunan Rakyat Malaysia (MHDI) mencatatkan peningkatan prestasi skor indeks 1.2% kepada 0.816 pada 2022 berbanding 0.806 pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan skor itu, MHDI berada di kategori tahap pembangunan sangat tinggi.
"Analisis mengikut indeks dimensi menunjukkan skor indeks tertinggi yang dicatatkan pada 2022 adalah Indeks Pendapatan Negara Kasar (PNK) dengan skor 0.872, diikuti Indeks Jangkaan Hayat dengan skor 0.823 dan Indeks Pendidikan dengan skor 0.757.
"Kesemua indeks berada di tahap pembangunan sangat tinggi kecuali Indeks Pendidikan mencatatkan tahap pembangunan tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, buat julung kalinya DOSM menerbitkan MHDI, yang dibangunkan sebagai instrumen bagi menilai tahap pembangunan manusia dalam mengukur kemajuan sesebuah negara selain daripada aspek ekonomi.
MHDI meliputi tiga dimensi utama iaitu umur yang panjang dan kehidupan yang sihat; akses kepada pengetahuan dan taraf hidup yang baik. Indeks ini dibangunkan berdasarkan Laporan Human Development Index (HDI) dari United Nations Development Programme (UNDP).
MHDI adalah salah satu indikator yang boleh digunakan untuk menganalisis pembangunan sosio-ekonomi sesebuah negara dan pembangunan manusia di sesebuah negara.
Indikator MHDI juga merupakan salah satu daripada tujuh penanda aras dalam ekonomi madani dan sebagai sasaran jangka sederhana yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun. Statistik utama yang dipaparkan dalam laporan itu adalah warganegara Malaysia.
Menurut Mohd Uzir, MHDI dinilai berdasarkan tiga dimensi utama iaitu umur yang panjang dan kehidupan yang sihat; akses kepada pengetahuan dan taraf hidup yang baik.
Katanay, dimensi umur yang panjang dan kehidupan yang sihat terdiri daripada satu indikator iaitu jangkaan hayat ketika lahir.
"Dimensi akses kepada pengetahuan terbahagi kepada dua indikator iaitu jangkaan tahun persekolahan dan purata tahun persekolahan. Dimensi taraf hidup yang baik meliputi satu indikator iaitu PNK per kapita," katanya.
Terdapat empat kategori skor tahap pembangunan iaitu kategori pertama di bawah 0.550 (rendah); kategori kedua 0.550 hingga 0.699 (sederhana); kategori ketiga 0.700 hingga 0.799 (tinggi) dan kategori keempat 0.800 dan ke atas (sangat tinggi). Pengukuran itu menunjukkan semakin tinggi nilai skor diperoleh semakin baik tahap pembangunan rakyat.
Sementara itu, Skor Indeks Jangkaan Hayat menurun 0.4% kepada 0.823 pada 2022 berbanding 0.826 pada 2021. Ia disebabkan peningkatan lebihan kematian semasa pandemik COVID-19.
Pada tempoh sama, skor Indeks Pendidikan meningkat 1.5% kepada 0.757 berbanding 0.746. Dua indikator iaitu jangkaan tahun persekolahan dan purata tahun persekolahan menyumbang kepada peningkatan Indeks Pendidikan.
Indeks PNK meningkat 2.5% kepada 0.872 pada 2022 berbanding 0.851 pada 2021 berikutan prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.7% pada 2022. Indeks PNK berada dalam julat 0.820 hingga 0.848 dalam tempoh 2015 hingga 2020.
Lapan negeri berada di tahap pembangunan sangat tinggi pada 2022. Negeri yang mencatatkan skor MHDI tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan skor 0.886.
Ia diikuti Selangor (0.842), Labuan (0.839), Pulau Pinang (0.830), Sarawak (0.824), Negeri Sembilan (0.817), Melaka (0.810) dan Pahang (0.803).
Manakala, negeri yang mencatatkan tahap pembangunan tinggi ialah Johor (0.794), Perak (0.791), Terengganu (0.787), Sabah (0.772), Kedah (0.771), Perlis (0.768) dan Kelantan (0.752).
Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan mata indeks tertinggi ialah Selangor iaitu 0.032 mata indeks kepada 0.842 pada 2022 berbanding 0.810 pada 2021, diikuti Sarawak mencatatkan 0.009 mata indeks kepada 0.824 berbanding 0.815 pada tempoh sama.
Negeri Sembilan juga meningkat 0.009 mata indeks daripada 0.808 pada 2021 kepada 0.817 pada 2022. Manakala, Pulau Pinang kekal pada skor 0.830 bagi kedua-kedua tahun.
Tiga negeri yang merekodkan penurunan mata indeks ialah Melaka iaitu menurun 0.003 mata indeks daripada skor 0.813 kepada 0.810 dan Perlis menurun 0.001 mata indeks daripada skor 0.769 kepada 0.768.
Ia diikuti Labuan yang menyusut 0.001 mata indeks daripada 0.840 kepada 0.839 pada tempoh sama. Pahang adalah satu-satunya negeri yang berubah dari skala tinggi pada 2021 (0.796) kepada sangat tinggi (0.803) pada 2022. - DagangNews.com