Prestasi industri sawit diunjur positif pada 2023 selepas purata harga minyak sawit mentah cecah RM5,100 pada 2022 | DagangNews Skip to main content

Prestasi industri sawit diunjur positif pada 2023 selepas purata harga minyak sawit mentah cecah RM5,100 pada 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Jan - Selepas prestasi cemerlang pada 2022, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan prestasi industri sawit Malaysia akan terus positif sehingga 2023.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, konflik Russia-Ukraine yang berterusan memberi impak rantaian bekalan minyak bunga matahari di seluruh dunia, menyebabkan lonjakan permintaan minyak sawit sebagai pengganti minyak bunga matahari.

 

Katanya, kenaikan harga minyak kacang soya dan minyak mentah Brent di pasaran dunia juga merupakan faktor penyumbang yang mungkin memberi kesan kepada prestasi minyak sawit.

 

“Harga purata minyak sawit mentah (MSM) pada 2022 adalah RM5,100 satu tan, 15.7% lebih tinggi berbanding RM4,407.00 satu tan pada 2021,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Harga purata MSM bagi Januari – November 2022 ialah RM5,167 satu tan, meningkat 18.4% berbanding RM4,363 satu tan bagi tempoh yang sama pada 2021.

 

Harga MSM mengalami penurunan mulai 3QFY22 berikutan musim pengeluaran MSM yang tinggi, peningkatan stok minyak sawit dan penurunan harga minyak kacang soya.

 

mpob
Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir

 

“Justeru, kami menjangkakan harga MSM akan stabil pada purata RM3,800 satu tan pada 2023. Ini berdasarkan jangkaan pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi, keadaan cuaca yang dijangka bertambah baik terutamanya pada separuh kedua tahun depan dan ketersediaan bekalan minyak sayuran utama yang lain yang dijangka lebih tinggi.

 

"Harga minyak kacang soya yang dijangka rendah berikutan pengeluaran tinggi di Brazil dan Amerika Syarikat juga dijangka memberi impak kepada harga MSM. Selain itu, pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat juga dijangka menjejaskan harga MSM,” katanya.

 

Ahmad Parveez berkata, ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada 30 September 2022 akan menggalakkan permintaan untuk produk minyak sawit kerana ia meluaskan aksesnya kepada pasaran baharu seperti Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak dilindungi oleh mana-mana Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada.

 

Berdasarkan Analisis Kos Faedah mengenai potensi kesan CPTPP, selepas ratifikasi dan pelaksanaan CPTPP, tarif untuk produk minyak sawit kini dikurangkan daripada maksimum 6% untuk Kanada, 5% untuk Mexico dan 9% untuk Peru kepada tarif yang lebih rendah berdasarkan jadual penghapusan tarif. 

 

Selain daripada eksport minyak sawit yang lebih tinggi ke pasaran, penghapusan tarif meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di negara anggota CPTPP.

 

"Eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit lain bagi Januari - November 2022 meningkat 1.3% kepada 22.43 juta tan berbanding 22.14 juta tan dalam tempoh yang sama 2021. 

 

"Pengeluaran MSM diunjurkan terus meningkat kepada 19 juta tan bagi 2023 berikutan jangkaan peningkatan kawasan produktif terutama di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya. - DagangNews.com