Prestasi Ketengah manifestasi kerajaan mampu urus tadbir ekonomi - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Prestasi Ketengah manifestasi kerajaan mampu urus tadbir ekonomi - Perdana Menteri

KEMAMAN 21 Okt - Kejayaan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) membangunkan ekonomi dan sosial di luar bandar adalah manifestasi agensi kerajaan di bawah kerajaan Keluarga Malaysia adalah cekap dan mampu mengurus tadbir ekonomi dengan baik.

 

Memperakui prestasi Ketengah pada program ramah mesra bersama warga Ketengah di Kompleks Sukan Bandar Seri Bandi di sini hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Ketengah berjaya memajukan kawasan luar bandar melebihi 650,000 hektar yang memberikan manfaat kepada lebih 168,000 penduduk.

 

Beliau berkata, Ketengah telah diberikan mandat untuk membangunkan ekonomi dan sosial di luar bandar supaya kawasan kurang berdaya maju akan mempunyai nilai komersial setanding dengan kawasan bandar.

 

Yakin dengan kemampuan Ketengah, Ismail Sabri berkata belanjawan untuk pembangunan Ketengah telah ditingkatkan daripada RM39 juta pada 2022 kepada RM56 juta bagi 2023.

 

"Kenaikan ini merupakan petunjuk bahawa agensi kerajaan di bawah kerajaan Keluarga Malaysia adalah cekap, berintegriti dan mampu mengurus tadbir ekonomi dengan baik," katanya, lapor Bernama, hari ini.

 

Perdana Menteri berkata, Ketengah juga melaksanakan program pembangunan keusahawan bagi menggalakkan penduduk luar bandar menceburi bidang perniagaan bagi tujuan meningkatkan ekonomi mereka.

 

ketengah

 

Beliau berkata, seramai 67 usahawan telah menerima sepenuhnya geran berjumlah RM560,000.

 

“Saya yakin dan percaya hasrat Ketengah untuk meningkatkan pendapatan usahawan desa boleh dicapai dengan pelbagai pendekatan pembangunan yang dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

 

Ismail Sabri berkata, sebanyak 4,053 unit rumah dan premis bernilai RM74.05 juta telah disediakan untuk Keluarga Malaysia di wilayah Ketengah bagi memastikan kehidupan persekitaran mereka lebih sejahtera, selamat dan berkualiti.

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 91% telah menerima geran mereka manakala 214 orang lagi dari daerah Dungun dan Kemaman akan menerima serahan geran tanah mereka pada hari ini," kata beliau.

 

Sebagai bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar, Ismail Sabri berkata, beliau sentiasa merasai denyut nadi serta kesukaran dan kepayahan masyarakat di luar bandar terutama dalam aspek pembangunan sosioekonomi.

 

"Pelbagai perancangan dan pelaksanaan dasar yang memberikan manfaat dan menguntungkan masyarakat luar bandar telah dilaksanakan oleh kerajaan," katanya.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kemakmuran seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas akibat kesan krisis global seperti bencana alam akibat perubahan iklim global dan krisis geopolitik yang memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan.

 

Program itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengerusi Ketengah Datuk Seri Dr Ahmad Said. - DagangNews.com