Prestasi kewangan lebih lemah, MIDF semak turun penarafan Eco World kepada ‘neutral’ | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan lebih lemah, MIDF semak turun penarafan Eco World kepada ‘neutral’

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Firma penyelidikan, MIDF Research menyemak turun penarafan ke atas saham Eco World Development Group Berhad (Eco World) daripada ‘beli’ kepada ‘neutral’ walaupun kumpulan menyaksikan jualannya bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21) melebihi jangkaan. 

 

Menurut penganalisis di MIDF, Jessica Low Jze Teing, perolehan kumpulan bagi FY21 dan FY22 turut diunjurkan lebih rendah, masing-masing sebanyak -18.2% dan -7.0% ekoran pembilan yang dijangka terus terjejas akibat sekatan pergerakan di tapak pembinaan. 

 

“Namun, kami menyemak naik harga sasaran (TP) Eco World kepada RM0.80 daripada RM0.73 memandangkan kami menurunkan Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) kepada 65% daripada 68% kerana prospek jualan baharu Eco World yang positif. 

 

“Walaupun kami suka Eco World kerana momentum jualan baharunya yang baik, namun lonjakannya terhad setelah kenaikan harga saham baru-baru ini. Oleh itu, kami menyemak turun Eco World kepada ‘neutral’ daripada ‘beli’,” jelas beliau dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Pada 3QFY21, pendapatan bersih utama kumpulan menyusut 17% berbanding suku tahun sebelumnya kepada RM35 juta, terutamanya disebabkan oleh sumbangan usaha sama yang lebih rendah akibat penguatkuasaan ‘lockdown’

 

Ini menjadikan pendapatan secara keseluruhannya dalam tempoh sembilan bulan pertama FY21 (9MFY21) merosot 8.7% berbanding tempoh sama pada tahun lalu kepada RM139.7 juta. 

 

Senada MIDF, CGS-CIMB Research pula mengekalkan saranan ‘pegang’ ke atas Eco World dengan TP ditingkatkan kepada RM0.85. 

 

Jelas penganalisisnya, Ngo Siew Teng, saranan itu dibuat kerana penggearan bersih kumpulan yang agak tinggi berbanding pesaingnya. 

 

Penarafan sama turut dikekalkan ke atas Eco World International Berhad, namun kata  Siew Teng, TP kumpulan diturunkan kepada RM0.51 daripada RM0.65. - DagangNews.com