Prestasi kewangan lemah, unjuran untung bersih DRB-HICOM diturunkan 77% | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan lemah, unjuran untung bersih DRB-HICOM diturunkan 77%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Penganalisis menyemak turun unjuran keuntungan bersih utama DRB-HICOM Berhad sehingga 77% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) kepada RM46 juta. 

 

Dalam masa terdekat ini, penganalisis di Kenanga Research, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz menjangkakan perintah berkurung atau ‘lockdown’ akan terus membebankan segmen perkhidmatan kumpulan. 

 

Bagaimanapun, segmen automotif diramalkan mencatatkan jualan lebih kukuh selepas 16 Ogos 2021 ekoran pembukaan semula lebih banyak ekonomi bagi perkhidmatan bukan perlu.

 

“Proton dan Honda dijangka terus mencatatkan pertumbuhan lebih kukuh selepas ‘lockdown’ dengan bekalan inventori cukup untuk menangani kekurangan cip global. Semasa tempoh pengecualian cukai jualan, pembuatan kenderaan kumpulan dijangka melonjakkan prestasi jualan dengan mengeluarkan model baharu atau diubahsuai. 

 

“Walaupun persekitaran mencabar, namun usaha transformasi Pos Malaysia Berhad yang berterusan akan memperkukuh kadar tarif yang bertambah baik dan permintaan e-perdagangan yang kian meningkat. 

 

“Perniagaan lain milik kumpulan akan terus menerap persekitaran ‘norma baharu’ untuk memastikan kemampanan kewangan, di sebalik perubahan dalam sikap pengguna,” jelas Wan Mustaqim dalam satu nota kajian.

 

Pada suku kedua FY21 (2QFY21) yang berakhir 30 Jun 2021, kumpulan mencatatkan kerugian sehingga RM217.25 juta setelah rugi RM306.08 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

 

Baca : DRB-Hicom catat kerugian RM217.25 juta pada Suku Kedua

 

Dalam kenyataan kumpulan itu kepada Bursa Malaysia pada Selasa, perolehan hasilnya meningkat kepada RM2.62 bilion berbanding RM2 bilion sebelum ini.

 

Sementara itu, CGS-CIMB Research menurunkan unjuran perolehan sesaham (EPS) kumpulan bagi FY21 hingga FY23 setelah mengambil kira jumlah jualan Proton yang lebih rendah dan kerugian lebih tinggi dicatatkan oleh Pos Malaysia. 

 

Susulan itu, firma berkenaan menyemak turun unjuran jualan Proton bagi tahun ini daripada 130,000 kepada 110,000 unit kerana kelewatan dalam pembukaan semula sektor automotif, di mana seiring unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang diturunkan kepada 500,000 daripada 570,000.

 

Penganalisis di CGS-CIMB, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, firma itu mengekalkan penarafan ‘pegang’ saham DRB-HICOM, tetapi harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM1.65 sesaham. 

 

“Kami berpendapat penilaian semasa mencerminkan prospek perolehan yang lebih lemah oleh kumpulan dalam masa terdekat ini. Kami lebih memilih Sime Darby Berhad dari segi pendedahan kepada sektor automotif,” katanya. - DagangNews.com