Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Dis - Public Investment Bank Research (PublicInvest) mengekalkan pandangan 'outperform' ke atas Magni-Tech Industries Bhd. dengan harga sasaran (TP) disemak rendah kepada RM2.65 daripada RM2.85 sebelum ini berikutan prestasi kewangan suku kedua yang kurang memuaskan.
Pada suku berakhir 31 Oktober 2021 itu, untung bersih kumpulan susut 18.03% kepada RM17.08 juta berbanding RM20.84 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan hasil yang lebih rendah dan kos bahan mentah lebih tinggi bagi bahagian pembungkusan.
Pendapatan juga merosot 58.28% kepada RM112.26 juta daripada RM269.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu apabila operasi pakaian Vietnam kumpulan itu digantung susulan pelaksanaan sekatan pergerakan antara 19 Julai hingga 30 September 2021.
Ini menyaksikan untung bersih Magni-Tech susut 19.89% kepada RM38.13 juta bagi tempoh 6 bulan berakhir 31 Oktober 2021 berbanding RM47.59 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan susut 25.53% kepada RM417.82 juta daripada RM561.09 juta.
Menurut PublicInvest, keputusan kumulatif separuh pertama adalah di bawah jangkaannya, menyumbang 20% daripada ramalan yang dibuat.
"Percanggahan dalam anggaran kami adalah disebabkan terutama penutupan yang lebih lama daripada jangkaan di Vietnam.
"Oleh itu, kami menyemak semula anggaran kami lebih rendah antara 3 hingga 16% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 terutama dengan mengambil kira penggantungan operasi Vietnam dan kos bahan mentah yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu bagaimanapun menjangkakan pendapatan akan kembali pulih pada separuh kedua FY22 dan seterusnya berikutan kelonggaran sekatan pergerakan di Vietnam.
Katanya, ini akan dipacu menerusi pelaburan pelanggan utama Magni-Tech dalam platform digital dalam usaha menggalakkan jualan secara dalam talian, jualan musim cuti yang kukuh dan juga kesedaran yang semakin meningkat mengenai kesihatan dan kecergasan dalam kalangan pelanggan.
"Dengan mengambil kira kecenderungan pelanggan terhadap pakaian sukan dan ke arah kesihatan dan kecergasan, ini akan memacu permintaan pakai sukan di peringkat global.
"Melihat semua faktor ini, kami kekal optimis dengan prospek masa depan Magni-Tech," jelasnya.
Setakat 9.35 pagi ini, harga saham Magni-Tech susut 1 sen atau 0.52% kepada RM1.92 dengan 56,600 saham diniagakan. - DagangNews.com