Prestasi kewangan Q3 Genting Malaysia mungkin lebih teruk, ramal penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prestasi kewangan Q3 Genting Malaysia mungkin lebih teruk, ramal penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Genting Malaysia Berhad mungkin mencatatkan prestasi kewangan yang lebih teruk pada suku ketiga tahun kewangan 2021 (3QFY21), diheret turun oleh penutupan Resort World Genting (RWG). 

 

RWG dijangka sekali lagi mencatatkan kerugian lebih besar pada suku tahun tersebut, tetapi penganalisis di Kenanga Research, Teh Kian Yeong tidak menolak kemungkinan kemerosotan itu akan dikurangkan oleh persekitaran operasi yang lebih baik di unit kumpulan di United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

 

“Oleh itu, kecekapan kos seperti pemotongan 30% gaji dan item perbelanjaan operasi lain berkemungkinan dapat membantu untuk memacu pertumbuhan perolehannya. 

 

“Pihak pengurusan kumpulan memberitahu bahawa kadar penggunaan tunai semasa oleh kumpulan bernilai RM2.5 juta sehari, tanpa perbelanjaan faedah untuk RWG berbanding RM4 juta tanpa perbelanjaan faedah setiap hari semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

 

“Ekoran penutupan perniagaan yang berpanjangan, kami meningkatkan unjuran kerugian bersih FY21 kepada RM1.04 bilion daripada RM545.5 juta dengan hanya 0.1% penurunan dalam unjuran keuntungan bersih pada FY22,” kata Kian Yeong dalam satu nota kajian.

 

Pada 2QFY21, Genting Malaysia menyaksikan kerugian utama kumpulan berkurangan 19% dari segi perbandingan suku tahunan kepada RM347.3 juta dipacu oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai, dan pelunasan (EBITDA) pada kadar RM45.6 juta. 

 

Prestasi yang lebih baik itu disumbangkan oleh Genting UK yang kembali meraih keuntungan bernilai RM14.3 juta daripada kerugian RM51.7 juta sejak dibuka semula pada pertengahan April. 

 

Sementara itu, perolehan unit Genting di AS pula terus bertambah baik sebanyak 59% kepada RM109.3 juta disumbangkan oleh hasil lebih tinggi daripada Resorts World New York.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas saham Genting Malaysia dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM3.47 daripada RM3.50.

 

Senada itu, penganalisis di HLIB Research, Low Jin Wu menjangkakan operasi kumpulan dalam masa terdekat ini akan terus mencabar susulan penguatkuasaan sekatan pergerakan dan kes COVID-19 yang kian meningkat.

 

“Kami menyedari bahawa terdapat kemungkinan penangguhan lagi dalam pembukaan semula ekonomi Malaysia dan ini dijangka menjejaskan RWG. 

 

“Namun, kami yakin bahawa kadar vaksinasi yang dipercepatkan akan membolehkan kita kembali kepada keadaan normal menjelang 4Q21,” kata beliau. 

 

HLIB Research mengekalkan saranan ‘beli’ saham Genting Malaysia dengan TP dinaikkan kepada RM3.28 daripada RM3.05. - DagangNews.com