Prestasi MAHB dijangka kukuh pada 4QFY23, Maybank IB kekal saranan ‘beli’ dengan TP lebih tinggi pada RM8.53 sesaham | DagangNews Skip to main content

Prestasi MAHB dijangka kukuh pada 4QFY23, Maybank IB kekal saranan ‘beli’ dengan TP lebih tinggi pada RM8.53 sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) kekal positif terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang dijangka mencatat prestasi kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa dari segi sejarah, pendapatan suku keempat cenderung menjadi lebih lemah suku ke suku (QoQ) disebabkan oleh caj belakang perbelanjaan seperti kos kakitangan dan penyelenggaraan menjelang akhir tahun.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata ia mungkin tidak berlaku lagi pada 4QFY23 memandangkan telah memperuntukkan bonus kakitangan sepanjang tahun, mengimbangi perbelanjaan Istanbul Sabiha Gokcen yang berpotensi lebih tinggi QoQ untuk kos penyelenggaraan dan keselamatan, seiring dengan peningkatan trafik penumpang.

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih teras MAHB pada 4QFY23 akan antara RM95 juta dan RM100 juta berbanding RM80.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Selain itu, Maybank IB berkata syarikat pengendali lapangan terbang itu telah menarik minat syarikat penerbangan asing untuk melebarkan sayap ke Malaysia berbanding tempoh sebelum COVID-19, termasuk firma China sejak Malaysia mengecualikan visa untuk pelawat China mulai 1 Disember 2023.

 

Syarikat penerbangan asing utama seperti Lufthansa, British Airway dan Qantas, juga akan kembali terbang ke Kuala Lumpur dalam separuh kedua tahun ini

 

“Ini adalah penting kerana caj perkhidmatan penumpang (PSC) yang dikenakan ke atas trafik penumpang asing di Malaysia adalah lima hingga tujuh kali ganda lebih tinggi daripada trafik penumpang domestik,” tambahnya.

 

Maybank IB menambah bahawa PSC di Malaysia masih akan dinaikkan berdasarkan indeks harga pengguna (IHP) kumulatif lima tahun bersejarah kecuali 0.1% pada 11 Februari 2024 seperti yang ditetapkan di bawah perjanjian operasi (OA) semasanya, walaupun OA baharu belum dikeluarkan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan anggaran pendapatan dan melancarkan tahun asas penilaian kepada penghujung FY24 daripada akhir FY23.

 

Ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi 7% pada RM8.53.

 

Setakat pukul 10:02 pagi ini, saham MAHB susut 2 sen atau 0.3% kepada RM7.62 dengan permodalan pasaran sebanyak RM12.7 bilion. - DagangNews.com