Prestasi perolehan syarikat di KLCI terbaik setakat ini - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Prestasi perolehan syarikat di KLCI terbaik setakat ini - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 April - Nisbah syarikat tersenarai di indeks pasaran utama Bursa malaysia, FBM KLCI  yang mencatatkan prestasi kewangan melebihi unjuran firma penyelidikan, CGS-CIMB meningkat kepada 40% daripada 130 syarikat bagi suku keempat 2020 (4Q20). 

 

Ini menyaksikan lonjakan 5 mata peratusan daripada 35% bagi suku sebelumnya, dengan nisbah syarikat kurang berprestasi menyusut kepada 25% daripada 31% pada 3Q20.

 

Bagi CGS-CIMB, nisbah semakan semula perolehan syarikat itu adalah yang paling kukuh dibandingkan dengan sejarah prestasi baru-baru ini.

 

“Ini merupakan kejutan positif dan mungkin disebabkan oleh penganalisis yang terlalu konservatif dalam unjuran perolehan mereka, sebagai contohnya, disebabkan oleh ketidaktentuan pergerakan harga dan harga jualan susulan COVID-19.

 

“Peningkatan perolehan korporat sebanyak 15% suku ke suku (q-o-q) menunjukkan pemulihan yang berterusan dalam aktiviti perniagaan serta harga komoditi yang lebih tinggi,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

CGS-CIMB juga positif terhadap pembayaran dividen yang lebih tinggi dari bank-bank seperti RHB Bank, Maybank dan Public Bank.

 

Pendapatan suku tahunan bagi syarikat di bawah liputan CGS-CIMB meningkat untuk suku kedua berturut-turut pada 4Q20, terutamanya dipacu oleh pemain automotif, bahan kimia, pembuat sarung tangan, perladangan, teknologi, perkapalan dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

 

Bagi perbandingan q-o-q, kebanyakan syarikat mencatatkan perolehan yang kukuh memandangkan jualan mereka pulih daripada sekatan pergerakan dan perjalanan rentas daerah yang dilonggarkan bagi suku berkenaan. 

 

“Kami kini mengunjurkan keuntungan bersih teras syarikat di KLCI bagi 2020 jatuh pada kadar yang lebih rendah iaitu 7% berbanding 14% didorong oleh perolehan pemain industri sarung tangan, Public Bank dan IHH yang lebih kukuh. 

 

“Kami menjangkakan perolehan korporat akan bercampur-campur bagi perbandingan suku tahun pada 1Q21, kerana pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari hingga 4 Mac 2021 di beberapa negeri utama dan sekatan perjalanan rentas negeri bermula 13 Januari,” tambah CGS-CIMB lanjut.

 

Secara keseluruhannya, 4Q20 menyaksikan perolehan korporat meningkat 15% q-o-q dan 21% tahun ke tahun. - DagangNews.com