Prestasi Q1 lebih baik dari jangkaan, Maybank IB saran ‘beli’ saham BIMB | DagangNews Skip to main content

Prestasi Q1 lebih baik dari jangkaan, Maybank IB saran ‘beli’ saham BIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 31 Mei - Institusi perbankan Islam terbesar di Malaysia, BIMB Holdings Berhad (BIMB) berjaya mencatatkan prestasi kewangan bagi suku pertama 2021 (1Q21) melebihi unjuran Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB). 

 

Susulan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan ‘beli’ saham BIMB. 

 

“Kos kredit hanya pada kadar 8 mata asas (bps) bagi 1Q21 dan berbeza daripada unjuran kami iaitu 26 bps bagi sepanjang tahun ini. 

 

“Kami mengekalkan unjuran (prestasi kewangan kumpulan) ketika ini, berdasarkan prospek ekonomi yang tidak menentu,” jelas penganalisisnya, Desmond Ch'ng dalam satu nota kajian.

 

BIMB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM202 juta bagi suku tahun semasa, di mana melebihi jangkaan Maybank IB pada 30% daripada ramalan penuh sepanjang tahun firma penyelidikan itu. 

 

Pencapaian itu dipacu oleh peruntukan yang lebih rendah daripada jangkaan selain sumbangan lebih baik daripada Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB). 

 

Mengulas mengenai aspek penstrukturan semula kumpulan, Maybank IB melihat terdapat perkara positif daripada langkah berkenaan yang kini hampir selesai. 

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan nilai gabungan sejumlah RM4.75 pasca penstrukturan semula BIMB, merangkumi pertukaran sesaham Bank Islam dan 0.24 saham STMB untuk setiap saham BIMB yang dipegang. 

 

“Setelah mencapai hampir RM800 juta daripada pelaksanaan penempatan sahamnya, permohonan diajukan pada 7 Mei bagi mendapatkan persetujuan Mahkamah Tinggi Malaya untuk SOA membayar pemegang waran.

 

“Apa yang tinggal adalah pengedaran saham BIMB dalam Bank Islam dan STMB kepada pemegang saham BIMB berdasarkan sesaham Bank Islam dan 0.24 saham STMB untuk setiap satu saham BIMB, berdasarkan anggaran kami. 

 

“Bank Islam kemudiannya akan mengambil status BIMB yang tersenarai,” tambah Ch'ng.

 

Senada itu, CGS-CIMB Research turut mengekalkan saranan ‘tambah’ saham BIMB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM4.27 sesaham. 

 

Penganalisisnya, Winson Ng menjangkakan langkah penstrukturan kumpulan akan membuka nilai Bank Islam. 

 

“Pemangkin kepada penarafan semula adalah peningkatan dalam penilaian Bank Islam apabila ia mengambil alih status penyenaraian BIMB,” jelas Ng. 

 

Setakat 11.23 pagi, harga saham BIMB berada pada kadar RM3.78. - DagangNews.com