PRESTIGE-AMI tingkat keupayaan PKS dalam aeroangkasa | DagangNews Skip to main content

PRESTIGE-AMI tingkat keupayaan PKS dalam aeroangkasa

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar melihat kerja-kerja yang dilakukan di syarikat Kaizan Aero Manufacturing Sdn. Bhd. (KAMSB) dalam lawatannya, semalam.

 

 

KUALA LUMPUR 27 April - Sebanyak 30 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) telah terbabit dalam Program Peningkatan Industri Strategik dan PKS Berprestasi Tinggi (PRESTIGE) - Aerospace Manufacturing Initiative (AMI) sejak 2017.

 

Program itu dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) melalui agensinya SME Corp. dikenalpasti dapat membangun dan meningkatkan keupayaan PKS dalam sektor aeroangkasa selaras Dasar Keusahawanan Nasional (DKN 2020-2030).

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program ini dilihat dapat memberikan impak yang positif, dengan jumlah jualan kumulatif PKS yang terlibat di dalam program ini sebanyak RM69.9 juta pada 2019 dengan purata pertubuhan pada kadar 23.9%. 

 

"Di samping itu, PKS ini juga telah berjaya memperolehi persijilan sistem pengurusan kualiti (QMS) yang diperlukan di dalam industri aeroangkasa, seperti persijilan AS9100 dan NADCAP bagi memenuhi syarat untuk menjadi pengeluar komponen aeroangkasa global,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan premis baharu Syarikat Kaizan Aero Manufacturing Sdn. Bhd. (KAMSB) di Puchong, Selangor. 

 

Syarikat KAMSB merupakan salah satu PKS yang dibimbing di bawah Program PRESTIGE: AMI yang terlibat di dalam pembuatan komponen aeroangkasa. 

 

Syarikat mengeluarkan produk galley refrigeration system dan tubing fabrication bagi pesawat komersial.

 

Melalui inisiatif di bawah program ini, syarikat telah berjaya mendapat persijilan NADCAP dan AS9100 Revision D yang merupakan sistem pengurusan kualiti mengikut piawaian antarabangsa, meningkatkan keupayaan produktiviti di dalam pengeluaran dengan penambahan adaptasi teknologi, meningkatkan keupayaan kapasiti pengeluaran dengan purata peningkatan sebanyak 120 peratus dan memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. 

 

Jumlah pekerja syarikat juga telah meningkat daripada 9 pekerja pada 2018 kepada 24  pekerja pada 2020 termasuk 7 graduan kejuruteraan dan teknikal tempatan. - DagangNews.com