Primas mohon kerajaan pertimbang polisi Generation End Game libatkan denda terlalu tinggi | DagangNews Skip to main content

Primas mohon kerajaan pertimbang polisi Generation End Game libatkan denda terlalu tinggi

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai - Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas) merayu kepada kerajaan agar mengkaji semula keputusan untuk melarang penjualan tembakau dan produk rokok pada masa hadapan yang akan memudaratkan perniagaan makanan di seluruh negara.

 

Kenyataan Primas itu dibuat ekoran laporan berita baru-baru ini bahawa kerajaan telah meluluskan rang undang-undang tembakau oleh Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah melarang penjualan rokok dan produk vape kepada golongan yang lahir selepas 2007.

 

Presiden Primas J. Suresh berkata, pihaknya percaya bahawa langkah-langkah drastik yang dicadangkan KKM akan memberi kemudaratan daripada kebaikan kepada pengguna dan perniagaan yang sah seperti mereka. 

 

"Ia akan menyebabkan kami kehilangan pendapatan, ia juga akan mengganggu operasi perniagaan kami.

 

"Seperti yang diutarakan di media, pelaksanaan larangan merokok kepada generasi akan datang, akan memberi kesan kepada ahli persatuan. Peruncit akan didenda sehingga RM30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya jika ahli persatuan tidak mematuhi undang-undang.

 

“Kami tidak menggalakkan merokok, tetapi polisi ini memberi cabaran kepada kami. Kami diminta untuk melakukan pemeriksaan sama ada seseorang itu lahir selepas 2007 melalui MyKad pada masa akan datang, yang akan menambah kerumitan kepada perniagaan kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu katanya, jualan produk terbabit adalah sumber pendapatan tambahan mereka dan ia akan terkesan di masa hadapan.

 

Menurut Suresh, pemilik restoran pada masa ini menghadapi kesusahan berikutan pandemik, kenaikan harga barang dan kekurangan pekerja. 

 

“Kami masih lagi bergelut menghadapi isu-isu ini serta peraturan dan undang-undang sebegini akan memberi kesan kepada pendapatan, meningkatkan kos operasi dan mewujudkan kerumitan tambahan yang akan memburukkan lagi keadaan," katanya.

 

Beliau menambah, kerajaan perlu membuktikan bahawa polisi itu akan berjaya. 

 

“Adakah kerajaan yakin bahawa kaedah tambahan ini dapat menghentikan orang ramai daripada merokok, ataupun ia hanyalah satu lagi undang-undang yang tidak akan dikuatkuasakan dengan baik ataupun menambah kekeliruan kepada semua pihak?," soalnya.

 

Suresh berkata, isu rokok seludup perlu diselesaikan sekiranya kerajaan mahu menghentikan tabiat merokok.

 

“Pasaran seludup mempunyai kawalan sebanyak 60% ke atas pasaran keseluruhannya dan polisi baru ini tidak langsung menangani situasi ini. Malah, larangan ini akan hanya menjadikan semua produk yang dijual di pasaran akan menjadi haram di masa hadapan apabila tidak ada syarikat sah yang menjual produk ini di Malaysia," katanya.

 

Primas sebaliknya menggesa kerajaan untuk memberi tumpuan kepada melawan perdagangan rokok seludup yang menyebabkan negara kehilangan RM5 bilion pendapatan cukai setiap tahun dan memudaratkan perokok berikutan kandungan yang tidak dikawal.

 

“Kerajaan perlu mengambilkira kesemua perkara ini sebelum membuat apa-apa keputusan. Bukan semua polisi akan berkesan dan ini bukanlah masanya untuk memberi risiko kepada industri makanan dan minuman,” jelasnya. - DagangNews.com