Principal perluas akses pelaburan digital | DagangNews Skip to main content

Principal perluas akses pelaburan digital

Munirah Khairuddin
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Principal Asset Management (Principal) mengumumkan perluasan perkhidmatan pelaburan melalui portal dalam talian yang membolehkan pelanggan menguruskan portfolio dengan lebih baik dari mana-mana sahaja. 

 

Portal pelaburan Principal ini bakal menjadi alat yang berkesan dan selamat bagi membantu orang ramai membina simpanan dan mencapai matlamat kewangan mereka. 

 

Penyelesaian digital ini juga dapat dinikmati oleh pelabur individu di Malaysia untuk mendapatkan akses perkhidmatan pelaburan Principal.

 

Pelabur kini mampu memanfaatkan kepakaran pengurusan persaraan dan aset oleh Principal secara digital dan melabur menerusi dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka ataupun secara tunai, lantas memperkasakan mereka untuk mengawal pelaburan dengan lebih cermat.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata, pihaknya telah mula membangunkan penyelesaian kewangan digital bertujuan untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih baik dan kini berusaha untuk memberikan autonomi kepada pelabur individu yang lebih gemar mengawal portfolio pelaburan mereka sendiri.

 

Beliau berkata, keadaan pandemik telah mempercepatkan kadar penerimaan digital, justeru secara langsung meluaskan akses dan memudahkan proses penyimpanan dan pelaburan demi kesejahteraan kewangan pelabur. 

 

"Kami juga komited untuk memperkenalkan penyelesaian yang inovatif berpaksikan kebolehmampuan pelabur, simpanan dan pelaburan serta keterangkuman, dalam masa sama merakyatkan pelaburan agar lebih mudah difahami agar kita dapat membantu pelanggan dalam perjalan pelaburan mereka," katanya dalam kenyataan.

 

Principal komited untuk membantu lebih ramai orang mencapai matlamat kewangan mereka dengan menawarkan lebih daripada 50 dana merangkumi dana konvensional dan patuh syariah dengan pelaburan permulaan minimum sebanyak RM500 di portal pelaburan tersebut. 

 

 

principal

 

 

Sempena pelancaran portal, caj jualan sebanyak 0% akan dinikmati oleh pelabur baru dan sedia ada serta 1,000 pelabur pertama akan turut menerima ganjaran sambutan awal sebanyak RM50. Promosi sah sehingga 31 Mac 2022.

 

Seiring saluran konvensional Principal termasuklah melalui cawangan-cawangan utama, perunding pelaburan dan pengedar bank, portal pelaburan itu membolehkan pelabur untuk membeli, menukar, dan menebus dana unit amanah pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja. 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai portal pelaburan, pelabur boleh melayari www.principal.com.my atau hubungi 03-7723 7260. - DagangNews.com