Produk kraftangan, makanan tradisional jadi tumpuan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Produk kraftangan, makanan tradisional jadi tumpuan di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

Wan Mariam Wan Ismail menunjukkan antara produk berasaskan daun mengkuang yang dijual di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia, Terengganu.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 3 Jun - Reruai yang menjual produk kraftangan dan makanan tradisional seperti dodol daun palas, nisan campuran, nisan pulut, air nira serta keropok keping menjadi tumpuan pengunjung sepanjang Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keempat di Terengganu kali ini.

 

Pengusaha Jendila Kraf, Wan Mariam Wan Ismail, 64, berkata, antara produk yang dipamerkan dan dijual ialah tudung saji, tikar, dompet dan beg tangan yang dihasilkan dari daun mengkuang.

 

Beliau yang datang dari Kampung Pinang Merah, Paka kira-kira 100 kilometer dari lokasi Jelajah AKM berkata, keletihannya terubat setiap kali pengunjung datang dan bertanyakan keistimewaan produk krafnya itu.

 

"Dalam zaman serba moden ini, tidak ramai yang berminat mahu menggunakan produk kraftangan kerana banyak lagi produk baharu yang lebih canggih.

 

"Namun, permintaan tetap ada kerana produk kraf seperti ini mempunyai peminatnya yang tersendiri kerana ia lebih unik,  kelihatan sangat klasik dan bermotifkan warisan Malaysia," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Tinjauan DagangNews.com di reruai yang menjual makanan tradisional pula mendapati ia bukan sahaja dijual lebih murah, malah pengunjung juga boleh mencuba sendiri makanan itu sebelum membuat pembelian.

 

Usahawan, Noraini Zulkifli, 36, gembira dapat memperkenalkan makanan tradisional yang dihasilkannya dalam Jelajah AKM kerana ramai pengunjung masih tidak mengenali makanan tersebut.

 

AKM
Noraini Zulkifli

 

"Mereka berminat hendak mengetahui bagaimana cara penghasilan air nira, dodol daun palas dan nisan. Walaupun tidak membeli, saya seronok dapat berkongsi dengan mereka mengenai keistimewaan makanan tradisi Terengganu.

 

"Ada juga yang ambil nombor telefon untuk datang sendiri ke Kampung Batangan di Marang kerana hendak membeli makanan ini secara borong dalam masa terdekat," katanya.

 

Pengarah Urusan Tokku Food Manufacturing Sdn. Bhd., Zuki Said berkata, penyertaannya dalam Jelajah AKM adalah platform terbaik untuk memperkenalkan jenama keropok keping di pasaran.

 

akm
Zuki Said

 

"Ini peluang saya dan kakitangan syarikat untuk menceritakan 'unique selling point' keropok keping keluaran kami berbanding jenama lain yang sedia ada di pasaran.

 

"Ramai juga pengunjung yang teruja kerana produk kami yang dikatakan lebih praktikal dengan 'packaging' menarik dan sesuai dijadikan cenderahati atau snek pada acara santai," katanya. - DagangNews.com