KOTA KINABALU 20 Mei - 'Teruskan hasil kraftangan yang diwarisi turun temurun dari nenek moyang'.
Itu aspirasi pemilik Tinunturu Kraft yang gigih meneruskan bakat seni kraftangan itu agar tidak pupus ditelan zaman.
Larina Majin, 35, berkata, dia mula mempelajari teknik menghasilkan pelbagai jenis kraftangan itu sejak berusia 12 tahun kerana membantu nenek dan ibunya untuk dijual di pasar tamu setiap hujung minggu di kampung.
Bagaimanapun katanya, dia mula aktif dalam menghasilkan kraftangan berkenaan selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Semua kraftangan ini adalah menggunakan hasil hutan, rotan dan bambu. Untuk menghasilkannya, ia memerlukan beberapa proses termasuk pemilihan bahan asas seperti rotan atau bambu berkualiti.
“Selepas itu, penghasilan kraftangan pula mengikut kreativiti dengan menghasilkan produk seperti beg mini, topi dan turban dikait, kotak pasu bunga serta bakul,” katanya ketika ditemui pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Larina berkata, hasil jualan yang memberangsangkan dari semasa ke semasa memberi inspirasi kepadanya untuk memasarkan produk ke pasaran lebih luas.
Malah katanya, dia turut menghasilkan beberapa lagi produk seperti beg dan kotak anyaman supaya ia mempunyai lebih banyak potensi di pasaran.
“Kira-kira lapan tahun lalu, saya memilih untuk membuka syarikat bagi menceburi bidang usahawan yang lebih komersial.
“Saya bersyukur kerana permintaan terhadap hasil kraftangan ini semakin bertambah sejak beberapa tahun lalu menerusi pasaran secara dalam talian,” katanya.
Larina berkata, dia berharap industri kraftangan ini akan terus berkembang dan bercadang untuk meneruskan kemahiran ini kepada anak-anak. - DagangNews.com