Produktiviti buruh naik 2.1% pada suku pertama 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Produktiviti buruh naik 2.1% pada suku pertama 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei - Produktiviti buruh Malaysia, yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja, mencatatkan pertumbuhan 2.1% dengan jumlah jam bekerja meningkat 3.5% kepada 9.2 bilion jam pada suku pertama 2023 (1Q23), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

 

Dalam satu kenyataan mengenai Statistik Produktiviti Buruh Suku Pertama 2023 hari ini, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia pada 1Q23 berkembang 5.6% selepas merekodkan pertumbuhan 7.1% pada suku tahun sebelumnya.

 

“Bilangan pekerja meningkat kepada 16.1 juta orang atau pertumbuhan 3.1% berbanding 15.9 juta orang atau 3.2% pada 4Q23,” katanya.

 

Dari segi nilai, Mohd Uzir berkata produktiviti buruh per jam bekerja pada 1Q23 adalah RM41.20 berbanding RM43.20 per jam dalam 4Q22.

 

Manakala produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja naik 2.4%, merekodkan RM23,712 berbanding 3.7% atau RM24,966 per pekerja pada 4Q22.

 

 

hgjg

 

 

Dari segi prestasi produktiviti buruh mengikut sektor, empat sektor mencatatkan kenaikan adalah sektor pembinaan pada 6.5% (4Q22: 8%), diikuti sektor perkhidmatan pada 2.8% (4Q22: 2.5%), perlombongan dan pengkuarian pada 1.6 % (4Q22: 4.2%), dan pembuatan pada 0.2% (4Q22: 0.3%), manakala pertanian masih menyusut pada 0.9%.

 

Mohd Uzir berkata ekonomi negara kian pulih mungkin akan mendorong produktiviti buruh walaupun ekonomi dijangka mengalami pertumbuhan rendah.

 

“Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang memulih, produktiviti buruh pada suku-suku akan datang digambarkan lebih baik apabila disokong momentum positif perkembangan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang terus bertahan.

 

“Lanjutan daripada ini, kesungguhan negara mempercepatkan penerapan inovasi dan teknologi, serta dorongan ke arah pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi, akan memastikan peningkatan perniagaan dipacu inovasi dan sasaran prestasi produktiviti buruh yang tinggi,” kata beliau. -DagangNews.com