Produktiviti setiap pekerja Malaysia menguncup lebih kecil | DagangNews Skip to main content

Produktiviti setiap pekerja Malaysia menguncup lebih kecil

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Mei - Produktiviti buruh setiap pekerja Malaysia bertambah baik dengan penurunan marginal 0.4% bagi suku pertama 2021 (1Q21) selepas mencatatkan -2.9% bagi suku sebelumnya. 

 

Ini berdasarkan laporan produktiviti buruh yang dikeluarkan jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) hari ini. 

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, pada suku ini, nilai ditambah menyusut 0.5% daripada -3.4% pada 4Q20 dengan jam bekerja berkurang sebanyak 0.9%.

 

“Pekerja menurun pada kadar yang lebih perlahan iaitu -0.04% (4Q20: -0.6%). Dari segi nilai produktiviti buruh, nilai ditambah per jam bekerja adalah RM40 per jam pada 1Q21 (4Q20: RM42 per jam) manakala nilai ditambah per pekerja adalah RM22,516 per pekerja (4Q20: RM23,604 per pekerja).

 

“Pada suku ini, pertumbuhan produktiviti buruh dari segi nilai ditambah per jam bekerja untuk sektor Pertanian pulih kepada 0.1% (4Q20: -0.8%).  Nilai ditambah dan jam bekerja sektor ini masing-masing meningkat 0.4% (4Q20: -1.0%) dan 0.3% (4Q20: -0.3%). 

 

“Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh dicatatkan oleh aktiviti Perhutanan & Pembalakan. Sementara itu, produktiviti buruh yang digambarkan sebagai nisbah nilai ditambah kepada pekerja meningkat semula kepada 1.6% berbanding -0.7% pada suku sebelumnya sementara pekerja terus mencatat pertumbuhan -1.2% (4Q20: -0.4%),” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan itu di laman web DoSM. 

 

Sektor Perlombongan dan Pengkuarian pula mencatatkan penurunan yang lebih kecil bagi produktiviti buruh per jam bekerja iaitu -2.1% berbanding -6.2% pada suku tahun sebelumnya. 

 

Pada suku tahun ini, nilai ditambah menyusut 5.0% daripada -10.4% pada 4Q20 sementara jam bekerja kekal dengan pertumbuhan negatif bagi tempoh tujuh suku tahun berturut-turut kepada 3.0% (4Q20: -4.5%). 

 

Tambah Mohd. Uzir, produktiviti buruh dengan nilai ditambah per pekerja untuk sektor berkenaan menurun 3.7% berbanding -9.0% yang dicatatkan pada suku tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, pekerja mencatatkan pertumbuhan -1.4% berbanding 1Q20, katanya lanjut.

 

Bagi sektor pembuatan pula, produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja di meningkat 8.5% daripada 6.0% pada 4Q20.

 

“Nilai ditambah bagi sektor ini berkembang 6.6% (4Q20: 3.0%), iaitu pertumbuhan positif bagi tiga suku tahun berturut-turut manakala jam bekerja menurun 1.7% (ST4 2020: -2.8%). Subsektor minuman dan produk tembakau (22.8%) mencatatkan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh per jam bekerja diikuti oleh peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (12.9%) serta produk kayu, perabot, keluaran kertas & percetakan (12.8%) subsektor. 

 

“Pertumbuhan produktiviti buruh per pekerja bagi sektor Pembuatan pula meningkat 5.9% (4Q20: 3.2%) dengan pekerja kembali meningkat kepada 0.7% (4Q20: -0.2%). Nilai produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja adalah RM55 per jam pada ST1 2021 (4Q20: RM56 per jam) sementara nilai ditambah per pekerja adalah sebanyak RM31,522 per pekerja (4Q20: RM32,589 per pekerja).

 

“Sektor Pembinaan mencatatkan pertumbuhan -8.6% pada 1Q21 (4Q20: -6.7%) bagi produktiviti buruh per jam bekerja. Pertumbuhan nilai ditambah bagi sektor ini kekal lemah pada -10.4% (4Q20: -13.9%) manakala jam bekerja menurun 2.0% (4Q20: -7.7%),” ujar Mohd. Uzir lanjut.

 

Dalam pada itu, sektor Perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan produktiviti buruh dari segi nilai ditambah  per  jam  bekerja  dengan  kadar  - 1.7 % (4Q20: -2.7%).  

 

Kata Mohd. Uzir, nilai  ditambah  bagi  sektor  ini  kekal  merosot  pada -2.3% daripada -4.8% pada suku sebelumnya,  manakala jam bekerja menurun 0.6% daripada -2.2%.

 

Pada suku tahun ini, pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh per jam bekerja di sektor Perkhidmatan direkodkan oleh subsektor Kewangan & insurans (9.7%), tambah Mohd. Uzir. 

 

Namun, produktiviti buruh per pekerja bagi sektor itu, menurun 2.6% daripada -4.9% dengan pekerja meningkat 0.4%. - DagangNews.com