Program Aspirasi Keluarga Malaysia bantu promosi jeruk bosou umbut pisang | DagangNews Skip to main content

Program Aspirasi Keluarga Malaysia bantu promosi jeruk bosou umbut pisang

OLEH RAYYAN DAN

KOTA KINABALU 21 Mei - Jeruk bosou umbut pisang mentah dan bergoreng mempunyai permintaan tinggi bukan saja dalam negeri malah sudah dieksport ke Australia dan Dubai.

 

Itu pengakuan mengejutkan daripada pengusaha produk makanan berkenaan, Valen Edith Galingan, 40, yang ditemui di program Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

 

Valen berkata, makanan berkenaan kebiasaannya hanya sinonim dengan masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di negeri Sabah.

 

Namun katanya, keberadaan orang Sabah sendiri di luar negara membantu membuka sedikit ruang untuk memperkenalkan makanan berkenaan kepada dunia luar.

 

“Walaupun jumlahnya masih kecil namun saya percaya, inovasi yang dapat dilakukan terhadap makanan itu akan membawanya pergi lebih jauh dalam pasaran antarabangsa.

 

“Saya juga sudah mempunyai ramai pengedar untuk di setiap daerah di Sabah selepas berkecimpung dalam pengedaran yang lebih komersial sejak tahun 2014,” katanya kepada DagangNews.Com, hari ini.

 

akm

 

Pemilik syarikat Ulu Qiulu itu berkata, sebelum ini, produk makanan tradisi ini hanya dijual di pasar sekitar ibu negeri sejak 24 tahun lalu

 

Katanya, saya percaya resipi yang dipelajari sejak turun temurun ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dan mampu menarik lebih ramai penggemar hidangan berkenaan.

 

akm

 

“Malah sekiranya makanan ini dapat diberikan lebih banyak penambahbaikan dari semasa ke semasa, ia sudah pasti berpotensi tinggi dalam pasaran makanan dunia,” katanya. - DagangNews.Com