Program Cilik Pertanian UCTC UPM beri kefahaman kepentingan pertanian sebagai sumber makanan kepada generasi muda | DagangNews Skip to main content

Program Cilik Pertanian UCTC UPM beri kefahaman kepentingan pertanian sebagai sumber makanan kepada generasi muda

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Jan - Seramai 28 orang kanak-kanak seawal usia 7 tahun diberi pendedahan awal dalam bidang pertanian menerusi program anjuran Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang baru-baru ini.

 

Dalam program Cilik Pertanian eDU-PARK@UCTC UPM itu, para peserta berpeluang mengikuti pelbagai program menarik yang bertujuan memberi kesedaran mengenai kepentingan bidang pertanian sebagai sumber makanan manusia.

 

Di samping itu, UCTC UPM turut memberi bimbingan asas kepada para peserta dengan kemahiran dalam pertanian dan mengenali anatomi haiwan. 

 

Ketua program, Muhammad Syafiq Kamal berkata, universiti bukan sekadar pusat pendidikan untuk mahasiswa malah merupakan milik masyarakat termasuk golongan kanak-kanak untuk mendapatkan ilmu pengetahuan.

 

“Pendedahan awal kanak-kanak dengan suasana kampus dapat menyuntik semangat dan meletakkan azam dalam diri mereka agar suatu hari nanti memilih UPM untuk menyambung pelajaran kelak,” katanya.

 

upm1

 

Sepanjang program berlangsung, para peserta yang berusia di antara 7 hingga 15 tahun telah mengikuti aktiviti semaian biji benih, membuat kokedama, hidroponik dan pembuatan baja organik cecair dengan bimbingan pegawai di UCTC UPM.

 

Para peserta turut dibawa melawat ke Muzium Anatomi Haiwan yang terletak di Fakulti Perubatan Veterinar yang merupakan salah satu muzium yang dibuka kepada orang awam untuk lawatan di bawah eDU-PARK UPM.

 

Di muzium berkenaan, mereka berpeluang melihat sendiri haiwan-haiwan yang telah diawet, mempelajari anatomi haiwan ternakan dan mempelajari cara menyediakan sampel sel darah haiwan ternakan serta melihat sel darah dengan menggunakan mikroskop.

 

Selain itu, peserta telah melawat ke lokasi penanaman cendawan tiram kelabu dan menuai cendawan, melawat tempat ternakan puyuh dan ternakan ikan tilapia di plot showcase UCTC UPM. 

 

upm 4

 

Sementara itu, peserta program, Nurain Syakirah Mohd Zain,15, berkata, beliau teruja mengikuti program tersebut dan memperoleh pelbagai ilmu pertanian yang boleh dimanfaatkan kelak.

 

“Program ini sangat bagus serta aktiviti yang dijalankan di sini memberikan pengetahuan baharu dan menimbulkan minat untuk saya mendalami ilmu pertanian. Saya juga dapat menambahkan kenalan baharu serta bertukar pandangan mengenai aktiviti di sini,” katanya.

 

Ibu kepada peserta program, Shararina Ab Rahman pula berkata, beliau berpuas hati dengan pengisian program ini dan berharap aktiviti sebaik ini dapat diteruskan terutamanya pada musim cuti sekolah.

 

“Terima kasih UPM dan tenaga pengajar yang terlibat dalam program ini saya berharap UPM akan berterusan menganjurkan program sebegini bukan sahaja memberi ilmu malah anak-anak saya seronok dapat ilmu yang bermanfaat,” katanya.- DagangNews.com