Program E-Board Insken lonjak pendapatan usahawan | DagangNews Skip to main content

Program E-Board Insken lonjak pendapatan usahawan

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Usahawan yang menyertai Online Onboarding Coaching (E-Board) di Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) sejak Julai lalu berjaya melonjakkan pendapatan sehingga 525.58% ketika program masih dijalankan. 

 

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga mendapati purata hasil jualan kesemua 250 peserta kumpulan 1 ini telah mencatat peningkatan sebanyak 17.57%. 

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, program tersebut bertujuan memperkukuh kemampuan dan kapasiti usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam penggunaan platform secara dalam talian. 

 

"Program ini menyasarkan untuk meningkatkan jualan usahawan, hasil daripada platform seperti Facebook, Instagram, YouTube, WhatsApp dan Telegram," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pada peringkat awal program E-Board, usahawan akan diberi pendedahan kepada semua platform dalam talian dalam jangka masa 2 hari melalui sesi latihan General E-Marketplace. 

 

Selepas itu, mereka akan diberi peluang memilih platform yang ingin dikuasai bersesuaian dengan perniagaan mereka agar dapat dibimbing selama 3 bulan oleh pakar secara lebih mendalam dan intensif.

 

Seorang pemilik Pusat Pembangunan Ilmu, Teratak Ilmu, Widad Fitriah merupakan antara usahawan yang berjaya melonjakkan jualan tertinggi melalui program E-Board. 

 

Menurut beliau, syarikatnya telah menerima arahan untuk keluar dari premis perniagaan dalam masa 30 hari kerana tidak mampu untuk membayar kesemua kos operasi yang tertunggak dan mencecah puluhan ribu ringgit. 

 

"Namun, setelah mengikuti program ini dan mempelajari teknik pemasaran secara dalam talian, saya berjaya melunaskan kesemua tunggakan tersebut. 

 

"Malah, kesemua kos operasi Teratak Ilmu kini 100% mampu dibayar menggunakan hasil jualannya berbanding dahulu yang terpaksa menggunakan sumber pendapatan lain untuk menampung kesemua kos tersebut. 

 

Kata Widad, pencapaian ini sudah berjaya dikekalkan selama 4 bulan berturut-turut, hasil daripada bimbingan melalui program E-Board. 

 

Selain E-Board, Insken juga telah mempersiapkan usahawan ke arah ekonomi digital melalui Program Insken Business Training yang turut diadakan secara dalam talian.

 

Antara topik-topik yang diberi pendedahan kepada usahawan adalah seperti WhatsApp Untuk Bisnes, Pasarkan Produk Anda di e-Marketplace (Shopee & Lazada), Zero Cost Marketing Menggunakan Facebook dan banyak lagi. 

 

Sepanjang tahun ini, seramai 4,759 usahawan telah mendapat manfaat dari program-program yang memfokuskan kepada topik digitalisasi ini. - DagangNews.com