Program kejuruteraan perkapalan PUO dapat permintaan industri, 90% graduan diterima pasaran kerja | DagangNews Skip to main content

Program kejuruteraan perkapalan PUO dapat permintaan industri, 90% graduan diterima pasaran kerja

Graduan program kejuruteraan perkapalan PUO menyumbang kepada pembangunan industri marin negara.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 26 Jun - Bidang kejuruteraan perkapalan mendapat permintaan tinggi industri apabila 90 peratus lulusan ini dari Politeknik Ungku Omar (PUO) diterima pasaran kerja selepas tamat pengajian.

 

Pengisian tenaga kerja ini melibatkan industri marin tempatan dan syarikat antarabangsa.

 

Ketua Jabatan Kejuruteraan Perkapalan PUO, Mohd. Faisol Saad berkata, tidak dinafikan graduan program tersebut telah memainkan peranan penting dalam pembangunan industri marin negara.

 

 

Katanya, penawaran program sejak 1972 bermula dengan perkongsian kepakaran Jepun hingga hari ini telah melahirkan ramai jurutera dan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

 

Kapal
PUO menetapkan tenaga pengajar bagi program ini mempunyai pengalaman luas dalam kerjaya industri marin.

 

Kapal

 

“Sepanjang tempoh 5 tahun lalu misalnya program Diploma Kejuruteraan Perkapalan (Diploma in Marine Engineering) melahirkan lebih 300 orang graduan.

 

“Kebanyakan graduan bekerja dalam pelbagai syarikat perkapalan dan pembinaan kapal tempatan.

 

“Ini termasuk bidang tugas pengurusan syarikat perkapalan, pembaikan kapal dan pembinaan kapal serta yang berkaitan. Tidak ketinggalan dalam sektor penguatkuasaan maritim Malaysia.

 

“Ramai juga graduan berjaya mendapat peluang pekerjaan di luar negara, menunjukkan kualiti pendidikan dan kemahiran yang diiktiraf pada peringkat global. 

 

“Ini termasuklah terlibat dalam pembuatan jentera-jentera yang pelbagai di bawah syarikat-syarikat gergasi antarabangsa industri maritim dan berkaitan,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Kapal
Pelajar Jabatan Kejuruteraan Perkapalan PUO didedahkan dengan kemahiran yang relevan dengan kehendak industri.

 

Kapal

 

Tambah Mohd. Faisol, ada juga graduan yang diambil bekerja dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

 

Jelas beliau, graduan juga terlibat dalam projek penyelidikan dan inovasi dalam industri marin, membantu meningkatkan kecekapan dan teknologi dalam sektor ini.

 

“Selain meletakkan syarat kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lebih ketat, calon pelajar perlu lulus ujian kesihatan serta lulus proses temuduga.

 

“Melalui latihan industri dan kolaborasi dengan sektor perkapalan atau industri maritim, graduan PUO dilengkapi dengan kemahiran praktikal dan teori yang relevan, menjadikan mereka aset berharga kepada majikan di seluruh dunia.

 

“Jabatan Kejuruteraan Perkapalan PUO telah diiktiraf sebagai Center of Technology in Marine Engineering (CTME) serta TVET Collaboration Hub in Marine Engineering.

 

“Dengan ini, program dan jabatan menjadi lebih dekat bersama industri dalam menjayakan agenda nasional dan memperkasakan agenda TVET negara,” jelasnya. - DagangNews.com