KUALA LUMPUR 8 Mac - Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman (RFBPN) menyasarkan 200 penyertaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam program khidmat nasihat atas talian secara percuma kepada peniaga peruncitan dan makanan & minuman (F&B).
Program yang mendapat sokongan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) diadakan untuk membantu peniaga peruncitan dan F&B yang terkesan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara untuk bangkit semula meneruskan perniagaan.
Pengerusi Nexus Produktiviti Peruncitan dan Makanan & Minuman, Deric Yeo berkata, program khidmat nasihat atas talian ini memfokuskan 8 bidang utama iaitu pemasaran digital, pendigitalan perniagaan, pemasaran, penjenamaan, rantaian bekalan, pembiayaan perniagaan, operasi perniagaan dan sumber manusia.
Katanya, program khidmat nasihat ini merupakan satu platform kepada PMKS terlibat untuk mendapatkan khidmat kepakaran dari pakar industri bagi membantu mereka meningkat produktiviti perniagaan, di samping menyuarakan isu dan cabaran yang dihadapi dalam perniagaan.
“Program ini juga dikenali sebagai RFBVAC, bukan hanya dapat membantu peniaga dalam menangani masalah namun dalam masa yang sama dapat memahami isu sebenar yang dihadapi oleh mereka.
"Malah, maklumat tersebut boleh digunapakai untuk merancang program-program pada masa hadapan untuk membantu peniaga untuk terus berdaya saing di dalam industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, MPC komited untuk membantu PMKS untuk menangani isu dan cabaran yang dihadapi.
Katanya, inisiatif tersebut akan terus membantu untuk membolehkan pemulihan ekonomi dengan cepat.
“Selaras dengan mandat dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, RFBVAC menyediakan lembaran baharu bagi komuniti perniagaan terutama PMKS untuk bangkit semula serta merangka strategi yang inovatif dan efektif dalam meneruskan perniagaan berkaitan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan berteraskan teknologi digital”, jelas beliau. -DagangNews.com