Program Klik-Klik Senang Akaun anjuran SME Corp bantu 865 usahawan mikro Sabah | DagangNews Skip to main content

Program Klik-Klik Senang Akaun anjuran SME Corp bantu 865 usahawan mikro Sabah

Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok (kiri) dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif (kanan) menyempurnakan perasmian Program Klik-Klik Senang Akaun.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai - SME Corp. Malaysia melalui Program Micro Connector menganjurkan Program Klik-Klik Senang Akaun memfokuskan kepada pengurusan kewangan yang cekap serta mendigitalkan proses perakaunan.

 

Program Micro Connector adalah salah satu inisiatif utama bagi meningkatkan keupayaan perniagaan perusahaan mikro menerusi kemahiran kompetitif dan sokongan teknikal.

 

Menurut SME Corp, seramai 9,144 usahawan mikro telah menyertai program itu untuk meningkatkan kecekapan perniagaan dan menjanakan pendapatan dengan jumlah dana sebanyak RM14.7 juta.

"Pada program yang dianjurkan di negeri Sabah hari ini, seramai 865 usahawan mikro terlibat dengan jumlah bantuan geran sebanyak RM812,416.

 

"Pengurusan kewangan yang baik membantu syarikat mengelakkan masalah seperti pembayaran gaji pekerja, sewa kedai, pinjaman perniagaan dan pembayaran kepada pembekal. 

 

"Selain itu, pengurusan kewangan sistematik juga menggalakkan perusahaan mikro membuat perancangan perniagaan dengan lebih berkesan serta memastikan dana mencukupi untuk menghadapi kecemasan atau perbelanjaan yang tidak dijangka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.

 

Sementara itu program kali ini turut mendapat sokongan daripada Persatuan Usahawan Digital IKS Daerah Tuaran (PERDIKS) dan seramai 80 usahawan turut hadir. 

 

Bernard dalam ucapannya mengingatkan para peserta tentang kepentingan pengurusan aliran tunai dan kewangan berkesan bagi pemilik perusahaan mikro.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy menyatakan syarikat itu telah melantik sembilan rakan pelaksana bagi Program Micro Connector tahun ini.

 

“Antara bidang tumpuan ditawarkan adalah pengurusan kewangan dan aplikasi perakaunan, pendigitalan perniagaan termasuk pemasaran digital serta gaya hidup dan kesihatan.”

 

“Pada tahun ini sahaja, Program Micro Connector telah meluluskan sejumlah RM3.08 juta bagi membantu 800 perusahaan mikro,” ujarnya.- DagangNews.com