Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia mula dilaksana pada April 2022 - PM | DagangNews Skip to main content

Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia mula dilaksana pada April 2022 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 8 Mac - Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) akan mula dilaksanakan pada April 2022 melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara, membabitkan penglibatan semua pihak khususnya kerajaan negeri. 

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada tahun 2025 ini akan bermula dengan Fasa 1 melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara. 

 

Beliau berkata, selain itu, Fasa 2 dan Fasa 3 akan bermula pada September dan Disember 2022, manakala Fasa 4 sehingga fasa 6 akan dilaksanakan pada tahun 2023.

 

"BMTKM akan menggunakan pendekatan berikut, menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah. 

 

"Mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat,  mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach) dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 yang diadakan secara bersemuka dan dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet berkaitan. 

 

Menurut Ismail Sabri, BMTKM adalah sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

 

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat juga memaklumkan mengenai strategi pengurusan bencana disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat daripada pemanasan global melibatkan 11 penyelesaian jangka pendek dan 9 penyelesaian jangka panjang.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 yang diadakan secara bersemuka di Putrajaya, hari ini.

 

 

"Penyelesaian jangka pendek antaranya ialah memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir (pam, pintu air dan set generator) pada tahap optimum dengan kerjasama kerajaan negeri. Menyelenggara, mendalam dan membersih sistem saliran dan takungan banjir. 

 

"Menaik taraf 516 stesen siren dan 155 stesen kamera web sedia ada dan membangunkan 361 stesen kamera web baharu. Menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca menggunakan peralatan berteknologi tinggi yang boleh mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca masa nyata (real time) dan boleh percaya (reliable) dan meningkatkan keupayaan aplikasi myCuaca untuk penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada Keluarga Malaysia," katanya.

 

 

banjir

 

 

Beliau berkata, antara langkah penyelesaian jangka panjang adalah pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air. 

 

Katanya, selain itu, ia termasuk pendekatan nature-based solution seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat, meningkatkan kapasiti takungan air banjir dan memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu. 

 

 

banjir

 

 

"Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutama melibatkan projekprojek pembangunan di negeri-negeri," katanya. - DagangNews.com