Program Rekalibrasi PATI diperluas ke restoran, pembersihan, runcit, borong | DagangNews Skip to main content

Program Rekalibrasi PATI diperluas ke restoran, pembersihan, runcit, borong

PUTRAJAYA 7 Julai - Jemaah Menteri meluaskan Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja kepada subsektor perkhidmatan restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian serta dilaksana di Sabah dan Sarawak juga.

 

Kementerian Sumber Manusia memberitahu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Jun lalu telah bersetuju dengan perlanjutan Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja mulai 1 Julai 2021 hingga
31 Disember 2021.

 

"Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya Program Rekalibrasi PATI Tenaga Kerja ini diperluaskan kepada subsektor perkhidmatan restoran, kargo, borong dan runcit serta pembersihan dan pencucian.

 

"Selain itu, pelaksanaan pelan rekalibrasi PATI Tenaga Kerja turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak, tertakluk kepada persetujuan kerajaan-kerajaan Negeri tersebut," kata kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Proses kelulusan penentuan kuota bagi program ini adalah selepas lulus tapisan pengesahan PATI oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Seterusnya, majikan yang mempunyai PATI yang telah lulus proses pengesahan boleh  membuat permohonan menerusi laman web www.fwcms.com.my.

 

"Oleh yang demikian, majikan tidak perlu lagi membuat permohonan menerusi laman
sesawang www.eppax.gov.my," kata kementerian itu.

 

:Proses penentuan kuota oleh Kementerian Sumber Manusia dan Agensi-Agensi Kawal selia selepas PATI lulus tapisan pengesahan di Jabatan Imigresen Malaysia akan dapat mewujudkan keseimbangan dari segi jumlah kelulusan kuota serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang diluluskan," kata kementerian. - DagangNews.com