Ketua Pegawai Eksekutif Northport (Malaysia) Bhd. (kiri), Datuk Azman Shah Mohd. Yusof bersama Ketua Strategi & Tadbir Urus iHEAL Health Sdn. Bhd., Tiffany Khoo (tengah) dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Ruben Emir Gnanalingam di pusat vaksinasi Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang di Pelabuhan Klang.
KUALA LUMPUR 27 Dis - Northport (Malaysia) Bhd. bersama Westports Malaysia Sdn. Bhd. dan Pusat Perubatan iHEAL bekerjasama menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak COVID-19 yang akan memanfaatkan lebih 60,000 kakitangan pelabuhan dan komuniti Pelabuhan Klang.
Program vaksinasi penggalak, yang bermula pada 17 Disember lalu akan diadakan selama 2 bulan di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Kelang di Pelabuhan Klang dan mempunyai kapasiti untuk pemberian 2,000 dos penggalak setiap hari.
Menerusi program kerjasama ini, Northport dan Westports akan membiayai penubuhan pusat vaksinasi atau Pusat Pemberian Vaksin (PPV), manakala iHEAL, hospital jantung dan penyakit berkaitan jantung yang
dilesenkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan dilantik sebagai rakan kongsi untuk Program Imunisasi COVID- 19 oleh Protecthealth Corporation Sdn. Bhd., akan bertanggungjawab untuk memastikan standard klinikal dan memberikan suntikan penggalak.
Malah, program vaksinasi penggalak ini juga akan diperluaskan kepada komuniti Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Northport dan Westports bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan dos penggalak mereka tanpa kos di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, rekod menunjukkan bahawa 2
dos pertama vaksin telah membantu mengurangkan bilangan kes COVID-19 yang teruk (kategori 4 dan 5) dalam kalangan kakitangan dan pengguna pelabuhannya.
Katanya, bagaimanapun, data dari negara lain yang memulakan program vaksinasi mereka lebih awal daripada Malaysia menunjukkan bahawa vaksin COVID-19 susut keberkesanannya dalam jangka masa tertentu.
"Oleh itu, Northport telah menjemput Westports dan iHEAL untuk bekerjasama menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak COVID-19 bagi membantu kerajaan mempercepatkan proses pemberian perlindungan tambahan kepada orang ramai.
"Pada masa sama, program ini dapat membantu komuniti setempat untuk mendapatkan suntikan vaksin penggalak mereka dengan lebih awal, di kemudahan vaksinasi yang lebih dekat dengan kediaman mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam berkata, adalah penting bagi pekerja pelabuhan untuk diberi vaksinasi sepenuhnya kerana sektor pelabuhan dikategorikan di bawah
perkhidmatan penting yang terus beroperasi 24 jam 7 hari seminggu bagi memastikan ekonomi negara dan pergerakan barangan tidak terganggu.
"Kemunculan varian COVID-19 baharu telah mendorong kepada keperluan pekerja pelabuhan untuk diberi perlindungan tambahan terhadap virus ini.
"Oleh demikian, bersama-sama dengan Northport dan iHEAL, kami telah bekerjasama untuk menganjurkan Program Pemberian Vaksin Penggalak COVID-19 untuk kakitangan pelabuhan serta komuniti Pelabuhan Klang sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat kami," katanya.
Pengasas dan Pengarah Perubatan Pusat Perubatan iHEAL, Kuala Lumpur, Dr. David Khoo Sin Keat pula berkata, sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan, mereka perlu memastikan vaksinasi COVID-19 dapat diakses oleh majoriti orang awam.
"Oleh itu, program yang dianjurkan bersama Northport dan Westports di lokasi luar tapak seperti di Klang ini adalah cara yang baik untuk kami memastikan lebih ramai orang menerima dos penggalak mereka, yang seterusnya akan mencegah dan mengurangkan masalah kesihatan serius yang disebabkan oleh COVID-19,” katanya.
Pada Jun tahun ini, Northport, Westports dan iHEAL turut terlibat dalam program vaksinasi pertama bagi sektor pengangkutan, yang diuruskan oleh Lembaga Pelabuhan Klang.
Program tersebut berjaya memberikan 2 dos vaksinasi kepada lebih 10,000 orang pelaut dan pekerja pelabuhan di Pelabuhan Klang. - DagangNews.com