Program Warongku sasar bantu 3,500 usahawan mikro | DagangNews Skip to main content

Program Warongku sasar bantu 3,500 usahawan mikro

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 26 April - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensinya SME Corp. Malaysia meletakkan sasaran untuk membantu 3,500 usahawan dengan peruntukan RM3.11 juta.

 

Sasaran yang diletakkan itu bersempena pelancaran Program Pembangunan Penjaja dan Peniaga melalui Smart Digital Terminal di bawah nama Warongku.

 

Merasmikan program berkenaan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, melalui peruntukan tersebut, usahawan berkenaan akan dibantu untuk mendigitalkan perniagaan melalui Platform Warongku.

 

"Daripada jumlah ini, seramai 2,000 penjaja dan peniaga kecil telah menyertai platform ini sebagai e-merchant, manakala tambahan penyertaan seramai 1,500 lagisedang dilaksanakan”

 

“Warongku adalah merupakan kesinambungan kepada projek e-runner iaitu ‘WarongRider’ yang dilaksanakan oleh pihak ICTSB dengan ilham dan kerjasama pihak Gabungan Persatuan-persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dan disokong oleh SME Corp. Malaysia menerusi Program Micro Connector.

 

"Program Warong Rider ini juga disokong oleh TEKUN, satu lagi agensi Kementerian melalui Skim TEKUN Mobilepreneur yang menyediakan pembiayaan sehingga RM10,000.00 bagi pembelian motosikal, pembaikan motosikal dan pemasangan aksesori tambahan," katanya dalam ucapan perasmian Program Warongku semalam.

 

Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

 

Program Warongku direka dengan objektif untuk meningkat dan melonjakkan pendapatan usahawan mikro dan usahawan informal serta penjaja dan peniaga kecil melalui jualan dalam talian dan memberi kesedaran serta menggalakkan penggunaan aplikasi digital di kalangan mereka untuk pemasaran yang lebih luas dan transaksi yang lebih bersistematik.

 

Program tersebut menawarkan latihan atau kursus kepada mereka yang kurang pendedahan teknikal dan literasi pemasaran secara digital. 

 

Ia turut membantu mengembangkan perniagaan usahawan mikro dan mempertingkatkan keupayaan perusahaan mereka melalui platform jualan makanan yang terpilih.

 

Sehingga kini, seramai 70 orang PKS telah dipilih untuk menyertai latihan di bawah program berkenaan. 

 

Sesi latihan yang diadakan pada 25 dan 26 Mac 2021 itu bertujuan melatih PKS bagi menggunakan platform Warongku serta mengadaptasi pendigitalan di dalam perniagaan mereka.

 

Pelaksanaan program itu juga akan melibatkan pendigitalan penjaja dan peniaga kecil melalui adaptasi e-merchant.

 

Melalui kemudahan e-merchant ini, proses tempahan dan pembayaran oleh pelanggan akan dibuat secara digital melalui platform Warongku. 

 

PKS yang terlibat akan dibekalkan dengan terminal dan pendaftaran merchant (kedai),kad sim beserta data internet selama setahun serta pemasangan, penghantaran dan latihan. - DagangNews.com