Projek baharu, PRU-15 jadi pemangkin kepada sektor pembinaan | DagangNews Skip to main content

Projek baharu, PRU-15 jadi pemangkin kepada sektor pembinaan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Sept - Projek baharu dijangka kembali mengukuhkan sektor pembinaan negara pada separuh kedua ini terutamanya dengan kemasukan semula pekerja asing, demikian menurut Kenanga Research. 

 

Penganalisisnya, Lim Joe Shen berkata, memandangkan syarikat multinasional mempelbagaikan pangkalan pembuatan mereka secara geografi (jauh dari China) untuk mengurangkan risiko, terdapat peluang dalam pembinaan loji separa konduktor baharu dan pusat data tempatan dengan saiz kontrak antara RM1 bilion hingga RM1.5 bilion.

 

"Kami difahamkan Kerjaya Prospek Group Bhd. dan Sunway Construction Group Bhd. sedang mengintai untuk mendapatkan projek ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor pembinaan terutama menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

 

Beliau berpendapat, prospek penambahan pekerjaan juga lebih baik dengan pelancaran projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) dan Lebuhraya Pan Borneo (Fasa 2) tidak lama lagi.

 

"Selain daripada trajektori pendapatan yang lebih baik diunjurkan pada suku berikutnya, kami percaya penarafan semula sektor sedang dibuat berdasarkan jangkaan pemberian pekerjaan infrastruktur awam menjelang PRU-15, yang dijangka menjelang September 2023," jelasnya.

 

Menurut Joe Shen, sektor pembinaan telah melalui tempoh terburuknya dan kini bersedia untuk meningkatkan hasilnya pada separuh kedua memandangkan kemasukan semula pekerja asing secara beransur-ansur dan penurunan harga logam asas baru-baru ini.

 

Katanya, sejak akhir Jun lalu, harga beberapa bahan utama binaan seperti keluli dan aluminium menurun dengan ketara disebabkan oleh sekatan berselang-seli di China. 

 

"Sementara itu, kebanyakan kontrak baharu yang sedang dirundingkan pada masa ini mengambil kira harga dalam pasaran semasa (yang lebih tinggi) dan mempunyai unsur perubahan harga – untuk melindungi margin kontraktor sekiranya berlaku perubahan besar dalam harga binaan.

 

"Oleh itu, kami percaya margin keseluruhan akan bertambah baik secara beransur-ansur apabila kontrak lama margin rendah semakin berkurangan dan projek baharu yang diselaraskan untuk kos input yang lebih tinggi mula menyumbang," katanya. 

 

Beliau mendapati, kebanyakan syarikat kontraktor di bawah liputan Kenanga Research merekodkan margin di bawah paras sebelum pandemik COVID-19 pada separuh pertama 2022 disebabkan kenaikan kos bahan binaan terutama keluli dan masalah kekurangan buruh. 

 

Menurutnya, meskipun, syarikat kontraktor pada suku kedua menyaksikan margin merosot sedikit, tetapi ia tidak membimbangkan.

 

"Hanya Gamuda Bhd. yang menyaksikan margin pembinaan lebih kukuh daripada tahap sebelum COVID-19 disebabkan pengiktirafan penjimatan kos daripada projek MRT2 yang akan berakhir.

 

"Selain itu, di tengah-tengah pasaran kerja yang perlahan, setakat ini IJM Corp. Bhd. dan WCT Holdings Bhd. masih belum memperoleh sebarang pakej kerja baharu," jelasnya. - DagangNews.com