Projek Bamboo Hills Residence dijangka lonjak momentum jualan baharu UOA Development pada 2HFY24 | DagangNews Skip to main content

Projek Bamboo Hills Residence dijangka lonjak momentum jualan baharu UOA Development pada 2HFY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Momentum jualan baharu UOA Development Bhd diramal meningkat pada 2HFY24 disokong lonjakan pembelian bagi projek Bamboo Hills Residence di Jalan Ipoh.

 

MIDF Research berkata, projek Bamboo Hills Residence dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM1.4 bilion itu dijual pada harga mampu milik iaitu antara RM400,000 hingga RM600,000 dengan kumpulan itu terus memberi fokus kepada projek kediaman kelas pertengahan. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, UOA Development merekodkan jualan hartanah baharu sebanyak RM142 juta pada 2QFY24, lebih tinggi daripada jualan hartanah baharu sebanyak RM121 juta pada 1QFY24.

 

"Ia meningkatkan jumlah jualan baharu kepada RM263 juta pada 1HFY24 yang disumbangkan terutamanya oleh Aster Hill di Sri Petaling yang menyumbang kepada 69% kepada jumlah jualan baharu.

 

"Sementara itu, jualan tidak dibil berjumlah RM368.7 juta pada 2QFY24, memberikan keterlihatan pendapatan hampir satu tahun," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research berkata, pendapatan bersih teras 2QFY24 meningkat kepada RM59.8 juta selaras dengan pendapatan lebih tinggi.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan itu didorong pengebilan kemajuan yang lebih tinggi bagi projek yang sedang berjalan dan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen hospitaliti.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada asas tahunan, pendapatan bersih teras 2QFY24 lebih rendah sedikit disebabkan oleh perbelanjaan yang lebih tinggi menjadikan pendapatan terkumpul pada 1HFY24 pada RM109.2 juta.

 

"UOA Development merekodkan pertumbuhan marginal dalam pendapatan 1HFY24 walaupun hasil leih rendah namun pendapatan meningkat melalui sumbangan daripada aset pelaburan dan segmen hospitalitinya," katanya.

 

Sementara itu, hasil hartanah pada 1HFY24 disumbangkan oleh pengiktirafan projek yang sedang berjalan dan projek yang telah siap iaitu Aster Hill, Laurel Residence, The Goodwood Residence, Sentul Point dan United Point Residence.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.06 sesaham. - DagangNews.com