Projek beri impak segera kepada rakyat akan diteruskan - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Projek beri impak segera kepada rakyat akan diteruskan - Mustapa

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Julai - Kerajaan mengambil keputusan untuk mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek pembangunan agar selaras dengan langkah penjimatan di dalam Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF).

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara projek terlibat adalah projek baharu dan sedia ada yang belum dimulakan proses perolehan, projek bukan keutamaan yang telah dikenal pasti perlu ditangguhkan kecuali projek yang mempunyai impak segera kepada rakyat.

 

Selain itu beliau berkata, semakan semula itu turut merangkumi projek-projek baharu sedia ada yang menghadapi masalah pelaksanaan seperti isu tapak.

 

"Projek-projek yang telah dikeluarkan iklan tender, surat niat (LoI) dan Surat Setuju Terima dan diteruskan kerana ia penting bagi menyokong usaha kerajaan merancakkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.

 

"Sesi libat urus antara MOF, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU) dengan semua kementerian akan diadakan minggu hadapan untuk memberi penjelasan mengenai cadangan semakan semula keutamaan pelaksanaan projek pembangunan 2022. 

 

"Kerajaan juga akan memastikan langkah-langkah penjimatan dilaksanakan ini tidak menjejaskan usaha pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, langkah-langkah yang diambil itu adalah bagi mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan untuk membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi. 

 

Katanya, antara perkara yang digariskan dalam panduan itu termasuk Perbelanjaan Mengurus (OE) mencapai sekurang-kurangnya 5.0% penjimatan daripada baki peruntukan bagi 2022.

 

"Perbelanjaan Pembangunan (DE) projek-projek yang belum dimulakan proses perolehan atau diiklankan dikaji semula keutamaannya agar langkah pemulihan seiring dengan pertumbuhan ekonomi yang dijangka pada tahun ini tidak terjejas. 

 

"Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), saya mempengerusikan mesyuarat penyelarasan pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMKe-12 sebulan sekali untuk memastikan projek-projek yang telah diluluskan dapat dilaksanakan mengikut jadual dan peruntukan yang disediakan dibelanjakan sepenuhnya," katanya. - DagangNews.com