Projek ECRL capai kemajuan lebih 48% - MRL | DagangNews Skip to main content

Projek ECRL capai kemajuan lebih 48% - MRL

MARAN 25 Ogos - Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kemajuan sebanyak 48.77% sehingga kini, kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

 

Ketua Setiausaha Negara itu juga berkata, perkembangan tersebut selaras dengan pembangunan projek itu dari Kota Bharu, Kelantan hingga Terminal Bersepadu Gombak, Selangor yang dijangka siap pada Disember 2026, sekali gus membolehkan perkhidmatan ECRL beroperasi pada Januari 2027. 

 

"Saya ingin memaklumkan juga bahawa kadar kemajuan yang memberangsangkan bagi projek ini bukan sahaja tertumpu kepada kerja-kerja infrastruktur dan pembinaan projek mega itu malah meliputi penglibatan syarikat tempatan dalam pelaksanaan ECRL. 

 

"Projek ini telah menyaksikan penglibatan lebih kurang 2,700 syarikat tempatan yang terdiri daripada kontraktor, perunding dan pembekal dari tahun 2017 hingga suku pertama tahun ini. 

 

"Nilai kontrak yang melibatkan syarikat tempatan dalam kerja projek ECRL telah mencecah sekitar RM12 bilion sekali gus mengatasi sasaran RM10.8 billion yang disasarkan bagi kerja sivil projek ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penembusan Terowong di Kampung Gedung Siam 3, di sini hari ini. 

 

Mohd Zuki berkata, bagi penglibatan kontraktor bumiputera pula, sejumlah RM2.3 bilion atau 66% daripada sasaran RM3.5 bilion kerja sivil ECRL telah diberikan kepada subkontraktor dan pembekal bumiputera. 

 

Beliau berkata, kerja pembinaan projek pengangkutan nasional itu sedang giat dijalankan melibatkan lebih 21,000 tenaga kerja di lebih 1,600 tapak kerja di sepanjang jajaran, lapor Bernama.

 

 

ecrl
Tan Sri Mohd Zuki Ali (dua, kanan) meninjau kerja-kerja pembinaan Terowong Kampung Gedung Siam 3 bagi projek ECRL pada majlis penembusan terowong itu pada 25 Ogos 2023. - Gambar Bernama

 

 

Menyentuh mengenai pembinaan terowong di Kampung Gedung Siam 3 sepanjang 1.32 kilometer (km) yang kerja infrastrukturnya dijangka siap sepenuhnya pada April 2024 itu, beliau berkata ia telah berjaya dilaksanakan mengikut jadual menggunakan kaedah penggerudian dan letupan.

 

Dengan purata ketinggian sebanyak 13.47 meter dan kelebaran 13.02 meter, terowong itu  dibina bagi membolehkan laluan kereta api ECRL memenuhi tahap maksimum kecerunan 0.74 peratus serta bagi tujuan mengelakkan penebangan terbuka di kawasan kampung.  - DagangNews.com