Projek ECRL: Tiada operasi letupan dijalankan pada hujung minggu – MRL | DagangNews Skip to main content

Projek ECRL: Tiada operasi letupan dijalankan pada hujung minggu – MRL

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), selaku pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), menegaskan bahawa tiada operasi letupan yang dijalankan pada Sabtu dan Ahad.

 

Syarikat itu menjelaskan bahawa letupan bagi pembinaan laluan terowong (Adit) hanya boleh dilakukan dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang pada hari Isnin hingga Jumaat di kawasan berhampiran Desa Melor, Serendah.

 

MRL mengeluarkan kenyataan itu berikutan laporan sebuah portal berita semalam yang mendakwa lebih 60 kediaman di Desa Melor terjejas akibat letupan terowong ECRL, termasuk pada hujung minggu dan tengah malam.

 

MRL turut mengesahkan terdapat kerja-kerja pembinaan Adit No.4 berhampiran Desa Melor dari Isnin hingga Jumaat ketika ini, namun jarak kawasan perumahan yang paling hampir dari lokasi Adit No.4 adalah sejauh kira-kira 300 meter dan bukan 200 meter seperti yang didakwa laporan portal berita itu.

 

“Pihak MRL juga ingin memaklumkan bahawa kemajuan pengorekan Adit No.4 telah mencapai kedalaman 800 meter daripada 813 meter yang dirancang. Ini bermakna lokasi letupan terkini sehingga ke kawasan perumahan Desa Melor yang hampir dengan kawasan yang sedang dalam pembinaan oleh projek ECRL adalah lebih daripada 1 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

 

Jajaran ECRL

 

Sehubungan itu, bilangan letupan di Adit No.4 pada setiap hari kerja juga telah dihadkan kepada maksimum dua kali sahaja dan perkembangan ini juga bergantung kepada jadual kerja bagi tujuan tersebut, tambahnya.

 

MRL memaklumkan bahawa projek pembinaan itu turut mengambil data gegaran dan data ledakan udara setiap kali letupan dijalankan dan mengikut tetapan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

 

Jelasnya, bacaan untuk gegaran tidak boleh melebihi 3 mm/s (milimeter sesaat) manakala bagi bacaan ledakan udara yang terhasil daripada aktiviti letupan mestilah tidak boleh melebihi 120 dB (desibel).

 

“Bacaan yang berkaitan juga dihantar kepada pihak JMG bagi tujuan pemantauan dari semasa ke semasa. Namun, berdasarkan rekod sedia ada, projek ECRL telah mematuhi perimeter yang disyaratkan oleh pihak JMG,” tambahnya.

 

Berhubung keretakan struktur rumah penduduk perumahan itu, MRL berkata kontraktor utama projek berkenaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan kerjasama bersama pihak persatuan penduduk di kawasan tersebut bagi menangani masalah itu menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 November 2023.

 

“Antara kandungan MoU tersebut, projek ECRL bersetuju untuk menyediakan sejumlah dana kepada pihak persatuan sebagai bantuan khas bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi masalah keretakan pada kediaman mereka,” katanya.

 

MRL menegaskan bahawa kerja-kerja pembinaan projek berhampiran Desa Melor telah mengambil kira impak yang paling minimum serta mematuhi garis panduan dan syarat termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan (ESCP).  - DagangNews.com