Projek FPSO Anna Nery milik Yinson berjaya mengeluarkan minyak pertama di Brazil | DagangNews Skip to main content

Projek FPSO Anna Nery milik Yinson berjaya mengeluarkan minyak pertama di Brazil

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Mei - Yinson Production yang merupakan unit perniagaan pengeluaran luar pesisir Yinson Holdings Berhad, bersama rakan kongsi projeknya Sumitomo Corporation mengumumkan bahawa pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Anna Nery berjaya mengeluarkan minyak pertama pada 7 Mei lalu selepas berjaya menjalani ujian selama 72 jam.

 

FPSO Anna Nery ialah aset operasi pertama YP di Brazil dan kejayaan itu menandakan permulaan piagam firma untuk tempoh 25 tahun sehingga 2048.

 

Yinson berkata, FPSO Anna Nery beroperasi di Marlim, bahagian timur Lembangan Campos, kira-kira 150km di luar pesisir Rio de Janeiro.

 

“Kejayaan aset itu adalah satu pencapaian yang patut dipuji, di tengah-tengah cabaran yang dibawa oleh pandemik COVID-19 dan gangguan kepada rantaian bekalan global,” kata dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Surat hasrat (LOI) untuk projek FPSO Anna Nery telah dianugerahkan oleh Petroleo Brasileiro SA (Petrobras) kepada Yinson pada Oktober 2019, dengan Sumitomo memegang 25% kepentingan dalam projek itu.

 

Penyertaan Sumitomo berikutan pemeteraian memorandum persefahaman jangka panjang dan mengikat antara kedua-dua pihak pada April 2018 untuk bersama-sama meneruskan dan bekerjasama dalam pemajakan dan pengendalian projek FPSO dan FSO di seluruh dunia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yinson, Flemming Gronnegaard berkata, pencapaian itu amat bermakna bagi banyak pihak yang terlibat yang telah bekerja keras untuk memastikan projek itu mengikut jadual.

 

"Kami berbesar hati untuk menyumbang kepada landskap tenaga domestik Brazil melalui penyediaan tenaga yang berpatutan dan boleh dipercayai kepada ekonomi dan komunitinya," katanya.

 

Pengurus Besar Bahagian Tenaga Sumitomo, Wataru Sato berkata, pihaknya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang termasuk ANP, Petrobras, limbungan COSCO, limbungan BrasFELS dan Yinson atas kerja keras mereka dalam pengeluaran minyak pertama.

 

"Kami yakin FPSO Anna Nery beroperasi dengan cemerlang di Marlim dan menyumbang kepada ekonomi dan komuniti tempatan Brazil. Sumitomo berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada projek FPSO pertama Yinson di Brazil," katanya. - DagangNews.com