Projek kediaman Carnelian 2 MK Land rancakkan pembangunan Klebang Putra  | DagangNews Skip to main content

Projek kediaman Carnelian 2 MK Land rancakkan pembangunan Klebang Putra 

Rumah teres setingkat projek Carnelian 2 dijual pada harga RM281,255 seunit.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 9 Mei - Pembangunan projek perumahan yang dilaksanakan MK Land di Klebang Putra di sini menjadi pemangkin merancakkan lagi kemajuan di kawasan tersebut sepertimana yang ada hari ini.

 

Terbaru, syarikat pemaju hartanah itu melancarkan jualan projek kediaman Carnelian 2 sebagai kesinambungan daripada projek terdahulu.

 

Projek Carnelian 2 melibatkan 90 rumah teres satu tingkat tiga bilik tidur dan dua bilik air, dengan jumlah keluasan binaan 126.6 meter persegi.

 

Menariknya, rumah teres setingkat pada harga bermula RM281,255 ini menawarkan ciri-ciri menarik selain kualiti serta sesuai untuk semua peringkat keluarga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MK Land Holdings Berhad, Dato’ Faris Yahaya berkata, apabila siap kelak projek tersebut akan merancakkan pembangunan sedia ada.

 

Katanya, ia juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan di kawasan Klebang Putra yang mula dibangunkan sejak tahun 2003.

 

“Kawasan Klebang Putra sedang rancak membangun apabila dihubungkan dengan Meru Perdana 2 melalui jalan pintas baharu yang dijangka siap pada Jun atau Julai ini.

 

“Ia menjadi akses mudah dari kawasan sebelah sini ke Ipoh dan Kuala Kangsar. Kelebihan ini juga akan menjadi titik jualan penting kepada bakal pembeli," katanya dalam satu kenyataan.

 

Klebang Putra yang merupakan kawasan perumahan matang juga mempunyai sekolah, masjid, kawasan rekreasi serta pusat komersial.

 

Kemudahan lain yang telah ada seperti rumah kelab bersama dewan serbaguna dan kolam renang.

 

Menurut Faris, MK Land sebelum ini telah menyiapkan dua fasa pembangunan Taman Klebang Putra yang terdiri daripada 1,273 unit kediaman dan 292 unit komersial.

 

“Kumpulan MK Land turut melabur untuk membangunkan kawasan sekitar tersebut selain objektif utama bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan kegiatan ekonomi.

 

"Projek Carmelia 2 dijangka siap pada April 2025 dan sepanjang tempoh tersebut kita juga akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan yang lain," ujarnya.


 

parafrasa
Dato’ Faris Yahaya (kanan) menunjukkan model kediaman Carnelian2 kepada Saarani (tengah) dan Sandrea (kiri) pada majlis pelancaran jualan projek tersebut baru-baru ini.

 


Terdahulu, majlis pelancaran jualan rumah teres setingkat Carnelian 2 ini telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato' Seri Saarani Mohamad. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan kerajaan tempatan negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching.

 

Sehingga kini, kira-kira 50 peratus daripada unit kediaman yang ditawarkan telah pun ditempah pembeli. - DagangNews.com