Projek kediaman TRiARA Residences Ara Damansara terima 216 unit tempahan bernilai RM225.9 juta | DagangNews Skip to main content

Projek kediaman TRiARA Residences Ara Damansara terima 216 unit tempahan bernilai RM225.9 juta

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - Projek kediaman bertingkat Sime Darby Property Bhd, TRiARA Residences menerima tempahan sebanyak 216 unit daripada 304 unit bernilai RM225.9 juta ketika pelancaran Fasa 1 projek itu, baru-baru ini.

 

Syarikat itu berkata, pencapaian ini membuktikan permintaan kukuh untuk kediaman di Ara Damansara dan kepercayaan terhadap jenama Sime Darby Property. 

 

Katanya, pembangunan mesra alam TRiARA Residences juga menawarkan sebanyak 450 unit yang akan diperkenalkan dalam dua fasa dengan saiz dari 1,216 kaki persegi ke 1,808 kaki persegi, serta harga permulaan daripada RM850,000. 

 

"Projek ini merangkumi tiga blok di atas tanah seluas 2.26 hektar dan menawarkan unit-unit yang moden dan bersesuaian untuk penduduk pelbagai generasi. Dikelilingi kawasan landskap yang indah, projek ini dijangka siap menjelang 2028," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

 

Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, prestasi cemerlang TRiARA Residences menggambarkan pemahaman mendalam syarikat mengenai pasaran perumahan, serta keupayaannya menawarkan rumah dengan reka betuk praktikal untuk semua peringkat umur, di lokasi ideal dan pada harga yang kompetitif. 

 

"Kami berjaya memahami pasaran hartanah yang kian berkembang dan secara konsisten telah memberikan pelanggan keyakinan termasuk fleksibiliti dalam perancangan ruang untuk disesuaikan dengan pelbagai gaya hidup. 

 

"Reka bentuk utama TRiARA Residences, digandingkan dengan reka bentuk mampan, menjadikannya rumah idaman yang ideal," katanya.

 

 

sime darby

 

 

Daya tarikan TRiARA Residences terletak pada konsep kehidupan mesra alamnya yang menampilkan kehijauan, taman kerja bersama, tempat letak kenderaan elektrik dan bioswales untuk pengurusan air ribut. 

 

Pembangunan ini menitikberatkan aspek keselamatan dengan penawaran sekuriti 24 jam dan tempat turun peribadi untuk setiap blok. 

 

TRiARA Residences telah memperoleh Sijil GreenRE Gold Rating (Provisional) yang membolehkan pembeli mendapat akses kepada pembiayaan hijau yang ditawarkan oleh pelbagai bank pada kadar yang kompetitif.

 

 

sime darby

 

 

Terletak secara strategik berhampiran lebuh raya dan kemudahan utama termasuk Citta Mall, Paradigm Mall, Ara Damansara Medical Centre, dan Lotus’s Hypermarket, TRiARA Residences menawarkan akses kepada tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Persekutuan serta stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ara Damansara dan Lembah Subang. 

 

Subang Skypark yang terletak berdekatan akan membolehkan penduduk berjalan-jalan serata Malaysia dengan mudah. - DagangNews.com