Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Upper Padas dijangka jana kerja kejuruteraan awam bernilai RM2 bilion kepada Gamuda - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Upper Padas dijangka jana kerja kejuruteraan awam bernilai RM2 bilion kepada Gamuda - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Kenanga Research menjangkakan projek Loji Janakuasa Hidroelektrik Upper Padas di Tenom akan menjana kerja kejuruteraan awam bernilai RM2 bilion kepada Gamuda Berhad sekali gus meningkatkan buku pesanan tertunggaknya kepada RM25.6 bilion.

 

Kumpulan itu menerusi kerjasama dengan UPP Holdings Sdn. Bhd. (UPP) dan Sabah Energy Corporation Sdn. Bhd. serta Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn. Bhd. (syarikat pembinaan loji janakuasa) sedang membangunkan Loji Kuasa Hidroelektrik Upper Padas 187.5MW di Tenom bernilai RM4 bilion.

 

Tempoh pembinaan adalah lima tahun manakala tempoh operasi awal ialah 40 tahun dan difahamkan bahawa kerja-kerja kejuruteraan awam dianggarkan sebanyak RM3 bilion akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Gamuda dan Kerjaya Kagum.

 

Kenanga Research itu berkata, kerjasama itu juga berhasrat memenuhi 40% keperluan penyertaan tempatan dengan menawarkan kerja subkontrak kepada subkontraktor yang berpangkalan di Sabah.

 

"Ia adalah projek kedua daripada enam projek besar yang dijangka dimenangai menjelang April 2025.

 

"Ini juga merupakan projek kedua yang diraih Gamuda pada FY24, meningkatkan jumlah kemenangan pekerjaan FY24 kepada RM5 bilion (berada di landasan tepat bagi memenuhi andaian kemenangan kerja setahun penuh FY24 kami sebanyak RM13 bilion) dan buku pesanan pembinaan tertunggaknya kepada RM25.6 bilion," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

 

Gamuda akan membuat pengumuman berkenaan perincian tarif dan perkembangan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) sebaik sahaja kelulusan sewajarnya diterima sambil memaklumkan pemaju projek akan melaksanakan PPA menjelang separuh pertama 2024.

 

Kerjasama itu akan dibiayai menerusi penjanaan dana dan pinjaman secara dalaman dengan nisbah hutang kepada ekuiti minimum 80:20.

 

Tanpa mengambil kira perkara luar jangka, projek ini dijangka memulakan pembinaan pada 2024, dengan operasi komersial akan bermula pada 2029.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan pemulihan yang ketara dalam sektor pembinaan pada 2024 disokong oleh pelancaran projek MRT3 bernilai RM45 bilion, Laluan LRT Bayan Lepas RM9.5 bilion dan enam projek tebatan banjir yang dilaporkan bernilai RM13 bilion dan pasaran pembinaan sektor swasta yang rancak, disokong oleh pelaburan besar-besaran dalam faundri semikonduktor baharu dan pusat data.

 

Firma itu menyukai Gamuda kerana menjadi pelopor untuk kerja terowong MRT3, keupayaannya mendapatkan pekerjaan baharu di pasaran luar negara dan keterlihatan pendapatannya yang kukuh disokong oleh buku pesanan terkumpul rekod RM25.6 bilion dan kemasukannya ke dalam ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM5.45 sesaham," katanya.- DagangNews.com