Projek mega negara jadi penentu prospek Malayan Cement - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Projek mega negara jadi penentu prospek Malayan Cement - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pasaran simen yang tidak menentu dan penangguhan projek-projek infrastruktur mega menjadikan prospek Malayan Cement Bhd. terus mencabar. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Sharizan Rosely menjangkakan harga purata jualan (ASP) simen kekal tidak berubah pada separuh kedua tahun ini disebabkan ketiadaan permintaan baharu. 

 

"Situasi ini berpunca daripada penangguhan projek-projek mega dan ketidaktentuan prospek di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Harga ASP simen buat masa ini berlegar pada RM200 satu tan metrik berbanding RM230 satu tan metrik pada Oktober hingga Disember 2020. 

 

Secara keseluruhan, Malayan Cement merekodkan untung bersih teras sebanyak RM8.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 (12MFY6/21), berbanding kerugian bersih yang lebih besar bagi tempoh sama tahun lalu.  

 

Bagaimanapun, ia menyaksikan pendapatannya lemah 2% tahun ke tahun disebabkan impak sekatan pergerakan, prosedur operasi yang ketat dan situasi pasaran yang lemah. 

 

Pada suku keempat, pendapatan juga lemah bagi suku ke suku disebabkan sekatan pergerakan, tetapi untung bersih melonjak 172% disokong kecekapan kos yang lebih baik dan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang tinggi. 

 

Pada mesyuarat agung luar biasa 30 Ogos lalu, Malayan Cement mendapat kelulusan pemegang saham untuk menerusan pengambilalihan operasi YTL Cement di Malaysia melibatkan urus niaga bernilai RM5.2 bilion.

 

CGS-CIMB sebelum ini menganggarkan kenaikan 8 kali ganda bagi pendapatan sesaham (EPS) untuk tahun kewangan 2022 dan 18% peningkatan BV untuk kumpulan yang lebih besar. 

 

"Namun, selepas keputusan kewangan 2021, kami mengurangkan EPS bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 sebanyak 9% berikutan penempatan saham asas yang lebih tinggi daripada 85 juta. 

 

"Bagaimanapun, unjuran kami tidak mengambil kira impak daripada pengambilalihan ini, sementara menanti ia dimuktamadkan," jelasnya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham Malayan Cement dengan harga sasaran disemak lebih rendah pada RM3.28. 

 

Sementara itu, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM3.50.

 

Penganalisisnya, Ummar Fitri berkata, prospek kumpulan dilihat terus positif dan mampu mengekalkan pendapatan yang stabil bagi tahun kewangan akan datang. 

 

Selain itu, katanya, cadangan pengambilalihan YTL Cement juga dapat membantu kumpulan mempercepatkan perancangan keuntungannya untuk tahun kewangan 2022

 

"Ini boleh dicapai menerusi rasionalisasi kos dan sinergi operasi dalam mencapai skala ekonomi yang lebih baik apabila langkah ini dimuktamadkan. 

 

"Dalam hal ini, kami percaya sinergi kecekapan kos dan trajektori pertumbuhan pendapatan yang stabil dapat dilihat dalam prospek kumpulan bagi tahun kewangan 2022 dan seterusnya," katanya. 

 

Di samping itu, menurutnya, permintaan produk seperti simen dan konkrit melibatkan projek-projek mega seperti MRT3, KVDT2 dan ECRL akan menyumbang kepada pendapatan dan hasil kumpulan yang lebih kukuh pada masa akan datang. 

 

Setakat 11.14 pagi ini, saham Malayan Cement menokok 7 sen kepada RM2.94 dengan 161,800 saham diniagakan. - DagangNews.com