Projek MRT3 akan jadikan Gamuda 'sibuk' selama 8 tahun | DagangNews Skip to main content

Projek MRT3 akan jadikan Gamuda 'sibuk' selama 8 tahun

Gamuda mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM806.23 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022. - Gambar : Facebook Gamuda
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Sept - Gamuda Bhd. bersama rakan kerjasamanya, MMC Corp. Bhd. mempunyai peluang cerah untuk memperoleh pakej CMC303 bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

 

Pakej CMC303 membabitkan kerja mereka bentuk, membina dan menyiapkan laluan jejambat, terowong, stesen-stesen, struktur sampingan dan lain-lain kerja berkaitan dari Pantai Dalam ke Jalan Kuching.

 

MIDF Research sebelum ini menganggarkan saiz CMC303 kira-kira RM14.29 bilion yang menyaksikan kerja-kerja bawah tanah terpanjang, dijangka kira-kira 10 kilometer (km) ditambah 6km kerja-kerja bertingkat.

 

Malah, katanya, pihak pengurusan juga optimis mengenai peluang syarikat tersebut untuk memperoleh projek berkenaan.

 

"Tarikh akhir penyerahan tender untuk CMC302 dan CMC303 adalah hari ini dan kami menjangkakan pakej ini akan diberikan menjelang November.

 

"Sekiranya kerjasama Gamuda-MMC memenangi tender ini, ia akan menjadikan Gamuda sibuk untuk lapan tahun akan datang.

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan konservatif kira-kira 6%, bahagian Gamuda daripada pendapatan MRT3 adalah kira-kira RM428.7 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Gamuda mencatatkan keuntungan bersih tertinggi sebanyak RM806.23 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22) berbanding RM588.32 juta yang direkodkan semasa tahun sebelumnya berikutan pendapatan pembinaan serta hartanah yang lebih kukuh. 

 

Pendapatannya bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM4.92 bilion daripada RM3.27 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Susulan prestasi yang lebih baik itu, MIDF Research menyemak naik harga sasaran Gamuda kepada RM4.71 daripada RM4.02 sebelum ini.

 

Sejajar semakan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan bagi FY23 dan FY24 masing-masing-masing sebanyak 16.7% dan 6.6% kepada RM813.9 juta dan RM773.2 juta berikutan hasil daripada segmen pembinaan yang cemerlang dan jualan hartanah yang dijangka kukuh.

 

"Kami ingin mengingatkan terdapat keperluan pembiayaan pendahuluan sekurang-kurangnya 10% daripada nilai kontrak untuk sekurang-kurangnya dua tahun bagi projek MRT3. 

 

"Oleh itu, sebarang aliran masuk berkaitan MRT3 untuk Gamuda hanya akan dilihat paling awal menjelang FY25," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Gamuda dan ia kekal menjadi pilihan utamanya bagi sektor pembinaan. 

 

Setakat 9.42 pagi ini, harga sahamnya menokok 11 sen atau 2.86% kepada RM3.96 dengan 2.48 juta saham diniagakan. - DagangNews.com